Sabtu, 21 Mac 2015

Cara Ustaz Kazim tak kena

DALAM program Forum Perdana Ehwal Islam semalam, Ustaz Kazim Elias telah mengumumkan dia tidak akan muncul lagi di kaca TV sebagai penceramah. Program semalam adalah yang terakhir baginya.

Sebelum ini Ustaz Kazim ada membayangkan dia akan bersara sebagai seorang penceramah terutamanya melalui kaca-kaca TV. 
Ustaz Kazim Elias

Kenapa dia tiba-tiba mahu bersara sebagai penceramah agama ?

Ada dua kejadian berlaku baru-baru ini; pertama : Mufti Perlis, Dr MAZA telah menegur Ustaz Kazim kononnya sering menggunakan hadis palsu di dalam ceramahnya. Kedua : Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ada menasihatkan para pendakwah dan penceramah agama agar tidak menyelitkan unsur lawak jenaka secara berlebihan dan menyanyi dalam menyampaikan ceramah mereka.


Teguran Dr Maza itu telah pun selesai dengan baik bila mereka berdua mengadakan pertemuan. Manakala teguran Mufti Perak itu tidak menyebut siapa penceramah tersebut kerana ia ditujukan secara umum.

Bagaimanapun, nasihat Tan Sri Harussani itu terkena juga pada Ustaz Kazim kerana dia sering buat lawak dan menyanyi dalam setiap ceramahnya. 

Nampaknya, Ustaz Kazim telah tersentuh hati dengan teguran itu sehingga membuat keputusan mahu bersara sebagai penceramah. Ada yang bertanya adakah Ustaz Kazim tidak boleh menerima teguran ?  Seolah mudah sangat merajuk hingga membuat keputusan sedemikian !

Soal buat lawak dan menyanyi dalam menyampaikan ceramah bukan isu yang ingin diperkatakan di sini. Terpulanglah pada persepsi masing-masing.

Cuma saya rasa cara Ustaz Kazim mengumumkan persaraannya di dalam program Forum Perdana itu tidak berapa kena. Dia tidak sepatut melakukannya dalam program tersebut. 

Dia perlu menghormati penganjur program tersebut termasuk salah seorang ahli panel malam tersebut iaitu Dr Maza sendiri yang duduk disebelahnya.

Ustaz Kazim sepatutnya mengumumkan hasratnya itu hanya melalui Facebook nya atau pun mengadakan sidang media khas buatnya tanpa melibatkan penganjur program dan tetamu dalam majlis tersebut.

Cara itu lebih tenang dan merendahkan diri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan