Ahad, 1 Mac 2015

Tengku Razaleigh Hamzah calon pengganti Najib ?

SETIAP kali orang bercakap tentang siapakah pengganti Najib Razak sebagai Perdana Menteri (PM) maka nama Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) akan muncul sebagai salah satu calon.

Lumrahnya, pandangan seperti ini bukan datang dari ahli-ahli Umno. Tetapi ia lebih popular dikalangan orang yang berada di luar Umno.
Tengku Razaleigh Hamzah

Pada dasarnya bila Najib sebagai Presiden Umno merangkap Perdana Menteri berundur maka jawatannya akan diambil alih oleh Timbalannya di dalam parti dan kerajaan. Ini adalah prinsip dan peraturan parti kerana sistem politik di negara ini parti menguasai kerajaan.

Tetapi bila ada yang mencalonkan Ku Li sebagai pengganti Najib sebagai PM ia kelihatan tidak praktikal. Kerana Ku Li sebagai pemimpin Umno hanyalah memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian parti. Malah Ku Li tidak pun menduduki kerusi Ahli Majlis Tertinggi parti. Jauh sekali terpilih sebagai antara tiga Naib Presiden parti.

Adalah satu perkara yang mustahil Ku Li akan menjadi PM ke 7 selepas Najib berdasarkan kedudukannya dalam parti Umno. Kecuali dalam PRU 14, Umno dan BN dapat dikalahkan dan Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Putrajaya.

Sebab Ku Li adalah calon yang dikemukakan parti PAS sebelum PRU 13 sebagai bakal PM selain dari Anwar Ibrahim. Ertinya, Ku Li adalah calon kompromi yang boleh dirundingkan dikalangan parti PR - PKR, DAP dan PAS.

Namun selagi Umno melalui BN mampu memenangi PRU14 nanti harapan Ku Li untuk menjadi PM ke 7 tidak mungkin menjadi kenyataan. Hanya satu jalan yang memungkinkan beliau menjadi PM adalah dengan bertanding jawatan Presiden atau Timbalan Presiden Umno.

Sekiranya dia gagal bertanding ada hanya satu peluang iaitu dengan PR berjaya menubuhkan kerajaan pada PRU 14 nanti. Ketika itu dia berpeluang menjadi calon PM kerana pada masa yang sama Anwar Ibrahim masih berada di penjara Sungai Buloh.

Dalam konteks ini agak pelik juga bila Ku Li sebagai ahli Umno dicalonkan parti pembangkang sebagai calon PM.  Tetapi itulah yang berlaku sebelum PRU 13 lalu.

Sekiranya kita menoleh kembali sejarah Umno 40 tahun dahulu selepas Tun Razak meninggal dunia, Tun Hussein Onn sebagai penggantinya menghadapi kesukaran memilih Timbalannya. Berita tersebar luas mengatakan Hussein Onn lebih cenderung untuk memilih Tan Sri Ghazali Shafie.

Tetapi hasrat itu terhalang kerana Ghazali tidak memegang jawatan tertinggi parti. Dia bukan Timbalan atau Naib Presiden parti. Dia hanya menduduki Ahli Majlis Tertinggi. Kerana itu peluangnya tertutup.

Justeru itu Tun Hussein tiada pilihan melainkan memilih Timbalannya di kalangan tiga Naib Presiden yang terdiri dari Ku Li, Tun Ghaffar dan Dr Mahathir. Akhirnya, Dr Mahathir terpilih sebagai orang nombor dua kerajaan merangkap pemimpin nombor dua parti.

Kesimpulannya, sekiranya Ku Li ingin menjadi calon pengganti PM Najib, maka dia perlu bertanding jawatan tertinggi parti. Atau pun dia mendapat ehsan dari PR sebagai calon PM - itu pun jika PR berjaya menguasai Putrajaya.

Selain dari itu dia boleh lupakan sahaja hasratnya untuk menjadi PM ke 7.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan