Jumaat, 31 Oktober 2014

Bekas Hakim Menjadi Peguambela

DATUK Seri Gopal Sri Ram, bekas seorang hakim di Mahkamah Persekutuan yang kini menjadi peguambela Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah bekas hakim pertama muncul di mahkamah bertindak sebagai peguambela.
Datuk Seri Gopal Sri Ram

Pada tahun 1995 bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas hadir di mahkamah Kota Bharu, bertindak sebagai peguambela pada pemimpin Pas, Mohamad Sabu yang dituduh berkhalwat di sebuah hotel.

Isu bekas hakim yang bertindak menjadi peguambela timbul bila Majlis Peguam Malaysia (Bar Council) dalam resolusinya dahulu sebulat suara melarang bekas hakim menerima perlantikkan menjadi peguambela dalam sebarang kes di mahkamah.
Tun Salleh Abbas

Namun dalam kes rayuan Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan di mana Gopal Sri Ram mengetuai barisan peguambela Anwar yang terdiri dari 14 orang itu dibenarkan meneruskan tugasnya oleh Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria kerana ia tidak menyalahi undang-undang.

Hujah dan alasan Majlis Peguam bersandarkan bekas hakim adalah di kalangan lebih senior dari para hakim yang sedang menghakimi sesuatu kes. Ia juga boleh menimbulkan ketidakselesaan secara psikologi dan sebagainya antara bekas hakim dengan para juniornya dalam profesion kehakiman.

Setakat ini Majlis Peguam tidak berganjak dengan pendirian dan resolusi yang telah diambilnya.


Rabu, 29 Oktober 2014

" Rakyat Hakim Negara " Kena Tunggu PRU 14

KES Rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan yang dijadualkan pada 28 dan 29 Oktober (dua hari) dijangka berlanjutan sehingga 31 Oktober ini. Ini berlanjutan disebabkan para peguambela Anwar bergilir memberi hujah yang panjang lebar. Selepas itu tiba giliran pihak pendakwa raya pula memberi hujah balas.

Lebih menarik perhatian Anwar telah dibarisi seramai 14 para peguam yang diketuai oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas seorang hakim Mahkamah Persekutuan. Manakala pihak pendakwa hanya membarisi dua orang peguam; Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan pembantunya.

Dengan 14 orang peguambela dan lima orang hakim yang mendengar dan meneliti segala hujah dalam kes ini; apakah jenis keadilan dan ketelusan yang diinginkan para penyokong Anwar yang terus berhimpun di luar mahkamah itu ?

Sepanduk " Rakyat Hakim Negara " yang dibawa para penyokong Anwar dan beberapa tindakan untuk mendapat sokongan dari negara asing berkenaan kes ini tidak sedikut pun akan mempengaruhi keputusan para hakim. Kerana faktor paling penting yang akan memutuskan kes ini adalah segala hujah, fakta dan keterangan diberikan di dalam mahkamah.

Segala yang berlaku di luar mahamah tidak akan diambil catatan dan direkodkan para hakim di dalam membuat keputusan. Ertinya, semua yang berlaku di luar mahkamah adalah tidak relevan dengan kes yang sedang berlangsung.
Datuk Seri Gopal Sri Ram

Jadi pada para penyokong Anwar yang membawa sepanduk " Rakyat Hakim Negara " itu boleh tunggu PRU 14 yang dijangka diadakan tidak lewat pada 2018. Masa itu rakyat boleh lah jadi hakim negara. Tetapi sekarang sedang kes rayuan berjalan yang akan memutuskan dan menghakimkan nasib Anwar adalah lima orang para hakim yang arif lagi bijaksana.

Tumpuan seharusnya diberikan sepenuhnya terhadap perbicaraan yang berjalan sekarang. Segala teori konspirasi politik terhadap Anwar yang dijaja pihak pembangkang hanya layak disampaikan di ceramah-ceramah dan pentas politik. Konspirasi politik sekiranya wujud ia perlu di berikan segala bukti, fakta dan keterangan di mahkamah untuk diberi penelitian. Bukannya di tepi jalan, ceramah politik dan sebagainya.

Diharapkan janganlah keputusan kes Anwar ini dijadikan seperti ibarat pisau mata dua belah. Sekiranya ditakdirkan Anwar didapati bersalah dan dipenjarakan, maka para penyokongnya akan bertindak liar termasuk golongan jenis suka berguling-guling di atas jalan sebagai tanda protes. Dan menuduh berbagai tuduhan terhadap sistem kehakiman negara yang tidak berasas.

Tetapi sekiranya Anwar dibebaskan mereka pula akan mendakwa selama ini terbukti wujudnya konspirasi politik dan Anwar telah menjadi mangsa politik fitnah. Dan kerajaan akan dipersalahkan.

Bagi para penyokong Anwar, kes ini ibarat pisau mata dua belah. Apa pun keputusannya pihak kerajaan akan dipersalahkan dan menerima kesan yang negatif.

Khamis, 23 Oktober 2014

Ustaz Azhar Idrus - Gelak Sampai Nangis


" Saya Nak Sentuh Anjing "

ORANG Islam boleh sentuh dan pelihara anjing atau tidak ?

Inilah isu hangat dibahaskan sekarang ekoran acara " I Want To Touch A Dog" yang mendapat sambutan hangat dikalangan masyarakat Islam terutama dari golongan generasi muda yang dikatakan mempunyai fikiran lebih liberal.

Namun kerana majoriti di negara kita bermazhab Syafie, maka isu ini tidak perlu dibahaskan lagi. Hukum berkenaan dengan anjing adalah jelas haram.

Tetapi dua keping gambar di bawah dalam sekitar 1930an melibatkan Sultan Kelantan, para Mufti dan seekor anjing adalah menarik perhatian untuk direnungkan.

A photograph from the 1930s showing the Mufti of Kelantan with the sultan of Kelantan’s pet dog used on the cover of William R. Roff’s book, Studies on Islam and Societies in Southeast Asia. The sultan wanted to keep a dog but his sister objected and the case went to Al-Azhar University in Cairo with the clerics there informing the prince that it was fine to own a dog. – Pic used with permission, October 23, 2014.A ophotograph from the 1930s showing the Mufti of Kelantan with the sultan of Kelantan’s pet dog used on the cover f William R. Roff’s book, Studies on Islam and Societies in Southeast Asia. The sultan wanted to keep a dog but his sister objected and the case went to Al-Azhar University in Cairo with the clerics there informing the prince that it was fine to own a dog. – Pic used with permission, October 23, 2014. - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/its-not-about-dogs-its-about-control#sthash.VOnDR4YO.dpuf



Rabu, 22 Oktober 2014

Kes Anwar : Langkah Preemtif dan tidak konsisten

DATUK Seri Anwar Ibrahim melahirkan keyakinan bahawa rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada 28 dan 29 Oktober ini akan berjaya dan dia tidak bersalah dan akan dibebaskan.

Sebelum ini Mahkamah Tinggi telah membebaskan Anwar dari tuduhan meliwat pembantunya. Tetapi keputusan itu telah dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan dengan mendapati dia bersalah dan dihukum penjara lima tahun. Kini Anwar bebas dengan jaminan sebanyak RM 10,000 sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Persekutuan.

Kelmarin Anwar merasai optimis Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan menyebelahinya berdasarkan undang-undang dan fakta.
Anwar Ibrahim

Ini adalah salah satu sikap Anwar yang gemar mengambil langkah preemtif dalam apa sahaja isu berkaitan kepentingan dirinya. Ia adalah satu langkah untuk mempengaruhi dan mengaburi pandangan umum berkaitan kesnya.

Ia juga tidak konsisten dengan sikapnya selama ini dalam menghadapi kes liwat 2 yang dihadapinya. Pada satu masa dia berkeyakinan dengan proses undang-undang dan mahkamah di negara ini. Di masa yang lain pula dia mencemuh dan tidak yakin dengan mahkamah dengan melemparkan berbagai tuduhan dan tohmahan.

Antaranya, mahkamah telah menjadi alat kerajaan bagi menyekat kerjaya politiknya. Dia juga menuduh ada konspirasi dan fitnah dari seluruh jentera dan agensi kerajaan mahu membunuh imej dan peribadinya.

Dia juga telah berkempen ke luar negara bagi mendapat sokongan dan melahirkan perasaan bahawa dia tidak akan diadili dengan adil dan saksama oleh mahkamah di negaranya sendiri.

Satu masa dia yakin akan dibebaskan dan didapati tidak bersalah. Di masa lain dia percaya dia akan dihantar ke penjara buat kali kedua. Satu situasi yang berkecamuk, haru biru dan keliru.

Apa yang pelik semasa perbicaraan di Mahkamah Rayuan, dia tidak mahu bersumpah dan di soal balas oleh peguam. Dia gagal memanggil 14 saksi alibi  yang disenaraikannya sendiri bagi mempertahankan dirinya. Kenapa dia gagal memanggil saksi-saksi tersebut yang termasuk senarai adalah isterinya sendiri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail - dia sahaja lah yang tahu.

Sekiranya kita masih ingat pada PRU 13 yang lalu, Anwar juga telah mengambil langkah preemtif dengan mengumumkan satu jam selepas tamat masa pengundian dengan menyatakan Pakatan Rakyat telah menang dan berjaya menawan Putrajaya. Anwar juga telah memberi amaran pada kerajaan BN agar tidak merompak kemenangan pihak pembangkang.

Inilah cara dan tektik Anwar untuk mengaburi pandangan umum dan mempunyai motif yang tersirat. Dan kelmarin dia bersikap preemtif sekali lagi menjelang kes rayuannya di mahkamah persekutuan pada minggu depan. Dia yakin mahkamah  persekutuan akan membatalkan keputusan mahkamah rayuan yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas dirinya.

Isu ini adalah mudah dan simple. Jika mahkamah mendapati dia bersalah, maka dia dan semua orang perlu menerima keputusan tersebut. Begitu juga sebaliknya. Sekiranya dia didapati tidak bersalah, maka kita semua perlu menerimanya dengan baik. Dan negara perlu bergerak ke depan dan mulakan episod baru yang telah tercemar selama 16 tahun dengan episod hitam ini.

Sikap menjunjung mahkamah bila keputusan berpihak pada kita dan mencemuh dan menghina mahkamah bila ia tidak berpihak pada kita perlu dikikis dan dihumban jauh-jauh.


Sabtu, 11 Oktober 2014

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan

ADA pandangan menyarankan agar Perdana Menteri tidak memegang jawatan Menteri Kewangan. Jawatan menteri kewangan seharusnya diberikan kepada calon lain. Perdana Menteri perlu menumpukan tugas sepenuhnya dan menyerahkan pada tokoh lain memikul soal ekonomi dan kewangan negara.

Sejak tahun 1976 lagi jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dipegang oleh dua tokoh berlainan. Tidak berlaku Perdana Menteri merangkap sebagai Menteri Kewangan - dua jawatan sekali gus.

Tengku Razaleigh Hamzah menjadi Menteri Kewangan dari tahun 1976 hingga 1984.

Tun Daim Zainuddin - 1985 - 1990

Datuk Seri Anwar Ibrahim - 1991 - 1998

Apabila Anwar dipecat daripada kerajaan pada 1998, di sini bermula lah titik permulaan jawatan Menteri Kewangan dipangku oleh Perdana Menteri. Dalam kes Anwar tersebut kemungkinan Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad merasakan tidak ada calon yang sesuai lalu beliau sendiri mengambil alih jawatan tersebut.

Namun Dr Mahathir hanya memegang jawatan tersebut hanya setahun dari 1998 hingga 1999 selepas itu melantik semula Tun Daim sebagai penggantinya dari 1991 hingga 2001.

Dan bila Tun Daim berundur dari kerajaan pada 2001, Dr Mahathir mengambil alih semula jawatan tersebut sehinggalah 2003.

Pada 2003 bila Dr Mahathir bersara dan berundur sebagai Perdana Menteri, penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi meneruskan amalan tersebut dengan menjadi Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan - walau pun beliau tidak mempunyai latar belakang sebagai tokoh kewangan dan ekonomi.

Tun Abdullah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2008. Selepas itu bila Najib mengambil alih beliau meneruskan apa yang diamalkan Dr Mahathir dan Tun Abdullah.

Apa kelebihan dan kelemahannya bila Perdana Menteri merangkap sebagai Menteri Kewangan ? Atau sudah sampai masa kita kembalikan amalan sejak 38 tahun dahulu di mana Perdana Menteri dan Menteri Kewangan adalah dari dua tokoh yang berbeza ?


Khamis, 9 Oktober 2014

Kes Rayuan Anwar Ibrahim

PADA 28 dan 29 Oktober ini Mahkamah Persekutuan akan bersidang mendengar rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersabit hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan di atas kesalahannya meliwat Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun 2008.

Ini adalah peringkat proses terakhir mengenai nasib masa depan Anwar. Apakah ia akan bebas dari hukuman atau sekali lagi bakal menghuni di penjara buat kali kedua ?

Sekiranya Anwar dibebaskan dari pertuduhan tersebut maka imej dan karier politiknya akan kembali pulih serta mencerahkan peluangnya memenuhi impian menjadi calon Perdana Menteri ke 7. Tetapi jika didapati bersalah dan dipenjarakan segala impian dan karier politiknya akan musnah dan lebur.

Anwar telah pun memulakan langkah preemtif dibeberapa negara luar terutamanya Australia untuk mendapat sokongan bersabit kesnya yang dianggap tidak mendapat pengadilan yang sewajarnya di negara ini. Jelas Anwar telah mengambil langkah-langkah politik bagi membela dirinya.

Sedangkan pada perbicaraan yang lalu di mahkamah rayuan, Anwar kelihatan tidak bersungguh-sungguh membela dan membersihkan dirinya dari tuduhan tersebut. Banyak persoalan tidak dijawab dan disanggah oleh barisan peguamnya mengenai fakta-fakta yang dibangkitkan pihak pendakwa.

                  - Anwar tidak membantah Saiful ada menghantar sampul kepadanya ditempat kejadian.
                  - Anwar tidak ada bukti yang dia tidak berada ditempat kejadian berlaku seperti yang
                   dituduh.
                  - Dia enggan disoal balas oleh pendakwa.
                  - Dia gagal memanggil 14 orang saksi alibi termasuk isterinya, Datuk Seri Dr Wan
                     Azizah.

Pada hal diperingkat permulaan kes tersebut Anwar telah menyatakan dia mempunyai 14 saksi termasuk isterinya bagi membuktikan di mana dia berada sewaktu kejadian itu berlaku. Tetapi bila kes itu berlangsung dia membatalkan hasratnya memanggil saksi-saksi tersebut termasuk isterinya.

Ini kemungkinan berlaku setelah pihak pendakwa mendedahkan bukti video dan CCTV menunjukkan Anwar berada ditempat kejadian berlaku.

Dan satu lagi dia enggan di soal balas oleh pendakwa. Dia hanya membaca kenyataan yang telah disediakan.

Secara keseluruhannya cara pembelaannya di mahkamah tidak menyakinkan. Dia tidak cuba menjelaskan secara terperinci dan jelas bahawa dia difitnah dan menjadi mangsa konspirasi pihak tertentu yang mahu menjatuhkannya.

Akhirnya, strategi pembelaannya di mahkamah adalah lemah sekali, tidak menyakinkan malah tidak menafikan dan membantah fakta-fakta yang dibangkitkan pihak pendakwa. Sepatutnya Anwar mengambil kesempatan di mahkamah untuk membersihkan dirinya dengan memberi kenyataan dan bersedia untuk di soal balas sebagai bukti dia tidak bersalah.

Apa strategi barisan peguambelanya pada 28 dan 29 Oktober ini ? Sekiranya mereka mengambil strategi yang sama ketika di mahkamah rayuan dahulu mereka akan menghadapi masalah besar. Sebaliknya mereka perlu menjawab banyak persoalan yang dibangkitkan dan lebih terbuka dan tidak rigid dalam mengemukakan pembelaan.
               
                 







Rabu, 1 Oktober 2014

Mansor Ahmad Saman Kolumnis Era 80an Yang Popular

MANSOR Ahmad Saman atau nama penanya T.S.Lanang adalah seorang penulis dan kolumnis popular dan mempunyai ramai peminat dalam era akhir 70 an dan awal 80 an. Namanya yang sebenar ialah Mansor bin Ahmad. Tidak pasti dari mana dan apa kaitan nama Saman di hujungnya itu.

Mansor bukan sahaja seorang penulis kolum yang prolifik tetapi juga seorang cerpenis, penyair dan penulis skrip drama radio. Mansor pernah memenangi Hadiah Sastera 1976 hasil karya puisinya.
Mansor Ahmad Saman

Istimewanya Mansor ialah dia mampu menulis dalam Bahasa Inggeris dan Melayu dengan sempurna. Dia pernah berkhidmat di akhbar New Straits Times sebagai wartawan. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang. Kemudian berjaya melanjutkan pengajiannya diperingkat M.A. (Komunikasi) di Universiti Minnesota, Amerika.

Setelah tamat pengajiannya dia berkhidmat sebagai pensyarah komunikasi di USM, Pulau Pinang. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Dekan, Kajian Ilmu Kemanusiaan di universiti tersebut.

Sebagai kolumnis tulisan Mansor sering tersiar dalam akhbar mingguan The Sunday Mail, dalam kolum T.S.Lanang Corner. Dalam mingguan Utusan Zaman, tulisan Mansor muncul dengan Geletek Dari Tanjung. Dalam akhbar tabloid Bintang Timur, Mansor menulis kolum tetap Tanjung Oh Tanjung.
Gambar Mansor semasa tahun 1970an

Senarai tersebut tidak setakat itu sahaja malah Mansor menjadi kolumnis tetap majalah Dewan Masyarakat, Widya dan lain-lain lagi. Semua hasil penulisannya itu diberikan "by line" atas nama penanya T.S.Lanang.

Pada tahun 1981 majalah Dewan Masyarakat ketika dibawah Ketua Pengarangnya, Datuk Noor Azam telah memilih Mansor sebagai salah seorang penulis kolum terbaik majalah tersebut. Pemilihan tersebut dibuat berdasarkan kelancaran penggunaan bahasa dalam setiap penulisannya dan idea-ideanya yang segar dan menarik perhatian ramai pembaca.

Mansor juga berjaya menghasilkan banyak buku-buku berkenaan dengan komunikasi. Beliau juga melakukan terjemahan ke dalam bahasa Inggeris. Antaranya; "Midnight Notes" dan "Mekong River" dari hasil karya puisi-puisi Latiff Mohidin.

Dua buah buku Mansor yang paling popular adalah buku bertajuk "So You Want To Be A Journalist ?" dan "Surat T.S.Lanang Kepada Baha Zain".

Buku "So You Want To Be A Journalist ?" pada asalnya adalah buku yang diterbitkan sendiri oleh Mansor berdasarkan nota-nota kuliah yang diajarnya dibilik kuliah. Tetapi beberapa tahun kemudian ia diterbitkan semula dengan kualiti yang lebih baik oleh Pustaka Cipta.

Manakala buku "Surat T.S.Lanang Kepada Baha Zain" terbitan Media Intelek, adalah sebuah buku yang pada asalnya adalah surat panjang yang ditulis Mansor setebal 112 halaman yang ditaip langkau sebaris dari Amerika kepada sahabatnya Baha Zain di tanahair. Penerbit buku tersebut menganggap surat tersebut merupakan surat terpanjang di dunia. Justeru menarik minatnya untuk diterbitkan bagi tatapan umum.

Begitulah Mansor seorang penulis yang prolifik dan istimewa pada zamannya iaitu pada era akhir 70an dan awal 80an. Kejayaan seorang penulis disukat pada hasil karyanya. Dan Mansor begitu banyak menghasilkan penulisannya.

Tetapi nama Mansor Ahmad Saman atau T.S.Lanang tidak muncul lagi di kolum-kolum akhbar dan majalah sekarang. Ia juga tidak kelihatan di media sosial seperti blog dan sebagainya. Seolah-olah nama Mansor atau Lanang telah hilang dan lenyap begitu sahaja. Kenapa ya ?

Inilah persoalan misteri yang ingin diketahui oleh mereka yang pernah mengikuti dan menikmati hasil penulisannya sebelum ini. Amatlah sayang bagi seorang yang begitu berbakat besar dan istimewa dalam menghasilkan penulisannya baik dari segi idea dan gayanya yang menarik dan unik untuk tidak menulis lagi.

Barangkali, andainya Mansor membaca catatan ini harap-harap ia mampu membakar dan menaikkan kembali "syeh" nya untuk menulis semula. Hi..hi..hi...