Rabu, 22 Oktober 2014

Kes Anwar : Langkah Preemtif dan tidak konsisten

DATUK Seri Anwar Ibrahim melahirkan keyakinan bahawa rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada 28 dan 29 Oktober ini akan berjaya dan dia tidak bersalah dan akan dibebaskan.

Sebelum ini Mahkamah Tinggi telah membebaskan Anwar dari tuduhan meliwat pembantunya. Tetapi keputusan itu telah dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan dengan mendapati dia bersalah dan dihukum penjara lima tahun. Kini Anwar bebas dengan jaminan sebanyak RM 10,000 sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Persekutuan.

Kelmarin Anwar merasai optimis Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan menyebelahinya berdasarkan undang-undang dan fakta.
Anwar Ibrahim

Ini adalah salah satu sikap Anwar yang gemar mengambil langkah preemtif dalam apa sahaja isu berkaitan kepentingan dirinya. Ia adalah satu langkah untuk mempengaruhi dan mengaburi pandangan umum berkaitan kesnya.

Ia juga tidak konsisten dengan sikapnya selama ini dalam menghadapi kes liwat 2 yang dihadapinya. Pada satu masa dia berkeyakinan dengan proses undang-undang dan mahkamah di negara ini. Di masa yang lain pula dia mencemuh dan tidak yakin dengan mahkamah dengan melemparkan berbagai tuduhan dan tohmahan.

Antaranya, mahkamah telah menjadi alat kerajaan bagi menyekat kerjaya politiknya. Dia juga menuduh ada konspirasi dan fitnah dari seluruh jentera dan agensi kerajaan mahu membunuh imej dan peribadinya.

Dia juga telah berkempen ke luar negara bagi mendapat sokongan dan melahirkan perasaan bahawa dia tidak akan diadili dengan adil dan saksama oleh mahkamah di negaranya sendiri.

Satu masa dia yakin akan dibebaskan dan didapati tidak bersalah. Di masa lain dia percaya dia akan dihantar ke penjara buat kali kedua. Satu situasi yang berkecamuk, haru biru dan keliru.

Apa yang pelik semasa perbicaraan di Mahkamah Rayuan, dia tidak mahu bersumpah dan di soal balas oleh peguam. Dia gagal memanggil 14 saksi alibi  yang disenaraikannya sendiri bagi mempertahankan dirinya. Kenapa dia gagal memanggil saksi-saksi tersebut yang termasuk senarai adalah isterinya sendiri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail - dia sahaja lah yang tahu.

Sekiranya kita masih ingat pada PRU 13 yang lalu, Anwar juga telah mengambil langkah preemtif dengan mengumumkan satu jam selepas tamat masa pengundian dengan menyatakan Pakatan Rakyat telah menang dan berjaya menawan Putrajaya. Anwar juga telah memberi amaran pada kerajaan BN agar tidak merompak kemenangan pihak pembangkang.

Inilah cara dan tektik Anwar untuk mengaburi pandangan umum dan mempunyai motif yang tersirat. Dan kelmarin dia bersikap preemtif sekali lagi menjelang kes rayuannya di mahkamah persekutuan pada minggu depan. Dia yakin mahkamah  persekutuan akan membatalkan keputusan mahkamah rayuan yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas dirinya.

Isu ini adalah mudah dan simple. Jika mahkamah mendapati dia bersalah, maka dia dan semua orang perlu menerima keputusan tersebut. Begitu juga sebaliknya. Sekiranya dia didapati tidak bersalah, maka kita semua perlu menerimanya dengan baik. Dan negara perlu bergerak ke depan dan mulakan episod baru yang telah tercemar selama 16 tahun dengan episod hitam ini.

Sikap menjunjung mahkamah bila keputusan berpihak pada kita dan mencemuh dan menghina mahkamah bila ia tidak berpihak pada kita perlu dikikis dan dihumban jauh-jauh.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan