Ahad, 7 April 2013

Kedudukan Anwar di Permatang Pauh goyang

ANWAR Ibrahim akhirnya mengambil keputusan mempertahankan kerusi Parlimennya di Permatang Pauh yang dipegangnya sejak 1982. Sebelum itu Anwar telah lakukan gimik politik dengan menyatakan beliau akan bertanding di Perak atau Selangor.

Permatang Pauh asalnya kerusi tunggal Pas di Pulau Pinang yang diwakili calonnya Haji Zabidi Ali. Tetapi setelah Anwar menyertai Umno, kubu Pas itu dapat ditawan Umno dan Barisan Nasional sehinggalah dia dipecat dari kerajaan.
Anwar Ibrahim

Semasa dia menjalani hukuman penjara selama enam tahun, isterinya Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menjadi penggantinya di kawasan tersebut sehingga dia bebas pada 2004 dan bertanding semula dalam pilihan raya kecil pada 2008 setelah diberi laluan oleh isterinya.

Dalam PRU 13 yang dikira amat genting dan akan menentukan masa depan politiknya; apakah para pengundi yang majoritinya melayu di Permatang Pauh akan terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi padanya ?

Apa yang pasti senario politik sejak 1982 sehingga 2013 ini telah berlaku banyak perubahan dan pembaharuan. Begitu juga pada 2008 bila Anwar berjaya kembali ke Parlimen dengan memenanginya dengan majoriti besar dalam satu pilihan raya kecil.

Ketika itu Anwar sedang dalam peringkat awal menghadapi tuduhan liwat oleh Saiful Bukhari Azlan. Ternyata kes itu tidak memberi kesan pada para pengundi sehingga memberi kemenangan besar padanya. Sebahagian besar masyarakat menganggap kes liwat II itu adalah fitnah dan mainan politik musuhnya.

Namun sejak 2010 banyak berlaku kejadian dan peristiwa yang telah memberi kesan besar terhadap personaliti dan karier Anwar sebagai seorang tokoh yang dicanangkan sebagai bakal Perdana Menteri.

Ramai sahabat, rakan dan pengikut seperjuangan mula meninggalkannya. Mereka mulai berani mempersoalkan kredibiliti Anwar - sikap, pendirian dan perjuangannya yang sebenar. Mereka yang meninggalkannya bukan calang-calang. Kebanyakan terdiri dari orang yang pernah rapat dengannya dan golongan para cendekiawan.
Prof Sidek Baba

Seolah mereka mulai sedar dan insaf betapa selama ini mereka ditutupi dengan unsur ketaksuban dengan menidakkan segala kenyataan dan kebenaran. Yang terbaru ialah Profesor Dr. Sidek Baba, seorang tokoh ilmuan dan intelektual yang dihormati.

Memang benar seperti kata Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika memecat Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri kira-kira 12 tahun dahulu bahawa satu hari orang akan semakin menerima hakikat dan kenyataan tentang perilaku Anwar yang sebenar. Ia memerlukan masa untuk menerima cerita sebenar.

Dalam suasana dan segala perubahan dan perkembangan ini Anwar sekali lagi akan turun mempertahankan Permatang Pauh yang dikira sebagai kubu kuatnya. Sudah kedengaran ramai pengundi melayu telah mulai sangsi dengannya. Manakala pengundi kaum Cina tetap tidak berganjak dan terus menyokongnya. Kaum India pula boleh dikatakan 100% menolak beliau.

Yang paling merunsingkan Anwar ialah segala jentera kempen pilihan raya di Permatang Pauh banyak bergantung pada ahli-ahli Pas. Sedangkan pucuk pimpinan Pas sendiri tidak sepakat untuk memilihnya sebagai calon Perdana Menteri.

Sekiranya ada jentera kempen parti Pas yang tidak berperanan dan mengharapkan ahli-ahli PKR sahaja sudah pasti kedudukan Anwar di Permatang Pauh akan goyang. Dia menang majoriti besar sebelum ini. Kali ini jika ia memperolehi majoriti kecil atau merosot; pastinya ia memberi gambaran penolakan para pengundi terhadapnya di kubu kuatnya itu.

Dan bukanlah satu perkara mustahil akan berlaku kejutan di situ dengan Anwar tumbang di Permatang Pauh dalam PRU 13 ini seterusnya menamatkan karier politiknya.









Tiada ulasan:

Catat Ulasan