Isnin, 25 Februari 2013

Anwar bersumpahlah

TUN Dr. Mahathir Mohamad dalam entri terbaru blognya mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim agar bersumpah sekiranya beliau benar tidak terlibat dalam kes liwat. Berani kerana benar, takut kerana salah, Tun mengakhiri tulisannya.

Anwar angkat sumpah di Parlimen
Cabaran pada Anwar agar dia bersumpah bagi membersihkan imejnya bukanlah baru. Anwar seperti memekakkan telinga dan tidak pernah menyahut cabaran itu. Seperti kata Tun, mengapa takut sekiranya dia tidak bersalah.

Bekas Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin satu ketika dulu pernah meminta Anwar agar bersumpah bagi meleraikan kekeliruan masyarakat terhadap segala tuduhan pada dirinya. Bersumpah tidak salah, ia sekurang-kurangnya bukti dia berani dan menepis segala tuduhan.

Dengan hampirnya pilihan raya umum ke-13, adalah tepat sekali jika Anwar mengambil langkah bagi membersihkan dirinya sekaligus memberi keyakinan pada orang yang masih was-was dengannya. Kini bukan  hanya rakyat yang sangsi dengannya, malah sebahagian para pemimpin ulama Pas, terutama Dr. Haron Din tidak dapat menerima beliau sebagai calon Perdana Menteri.

Khabar Majlis Syura Ulama Pas menolak pencalonan Anwar sebagai PM Pakatan Rakyat bukan rahsia lagi.  Ini membuktikan ada yang tidak kena dengan Anwar sebagai orang yang akan memimpin negara ini.

Ada aktivis Pas memberi pandangan jika Pakatan Rakyat berjaya menguasai Putrajaya, akan berlaku satu sejarah di mana Anwar sebagai PM baru memberi ucapan pertamanya di Masjid Negara melalui khutbah Jumaat yang disiarkan secara langsung di TV.

Senario itu tidak mustahil berlaku. Namun adakah moleknya sebelum Anwar diangkat sebagai PM dan sebaik saja Parlimen dibubarkan dia terlebih dahulu naik di atas mimbar Masjid Negara atau mana-mana masjid pilihannya dan melafazkan sumpah... Wallahi, Wabillahi, Watallahi.. saya..dot..dot..bersumpah...

Sekiranya ini benar berlaku, maka habislah Datuk Seri Najib Razak dan segala kerajaannya bagi mempertahankan Putrajaya dari dikuasai pembangkang.

Peluang ini terbuka buat Anwar dan dia boleh lakukan sekiranya dia mahu memastikan imejnya kembali bersih dan memulihkan keyakinan orang terhadapnya. Sebagai pemimpin dia bukan sahaja perlu bersih tetapi juga kelihatan bersih.

Adalah sesuatu yang menghairankan jika Anwar tidak sanggup melakukannya dengan berbagai alasan sedangkan ini adalah satu-satunya kaedah yang akan menjernihkan segalanya yang tersimpul. Dan paling utama mencerahkan peluangnya memenuhi impian menjadi Perdana Menteri ke-7.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan