Rabu, 6 Februari 2013

BN kini lebih bersedia

AHLI Umno dan penyokong kerajaan perlu berterima kasih pada dua tokoh; mantan PM Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerana mereka berdualah yang memainkan peranan besar mendorong Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan PM pada 2009.

Dr. Mahathir
Pada PRU 12, 2008, BN hilang majoriti dua pertiga dan Umno kalah banyak kerusi dibeberapa buah negeri.   Selangor, negeri paling kaya jatuh ke tangan PKR. Pun begitu selepas keputusan PRU 12, Tun Abdullah tidak menunjukkan sebarang rasa bersalah, malah terus berdegil ingin meneruskan jawatannya sebagai PM.

Datuk Seri Najib Razak, ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri, tidak menunjukkan beliau cuba mengambil kesempatan mahu menjatuhkan Tun Abdullah. Najib telah membuktikan beliau seorang Timbalan yang setia. Sedangkan suasana ketika itu memperlihatkan majoriti ahli Umno mahu Tun Abdullah mengundurkan diri ekoran prestasi buruk Umno dan BN.

Dr. Mahathir adalah orang pertama yang menyerang dan mengkritik kepimpinan Pak Lah dan menggesanya meletakkan jawatan. Ini dikuti menteri kabinet, Tan Sri Muhyiddin. Keduanya telah menggerakkan usaha secara terbuka agar Pak Lah berundur segera bagi menyelamatkan parti Umno dan BN.

Pak Lah pada peringkat awalnya berasa kecil hati dengan sikap Muhyiddin yang dianggapnya sebagai orang kepercayaannya. Namun pendirian Muhyiddin jelas ia mahu bersama Dr. Mahathir bagi menyelamatkan Umno/BN.

Kemuncak tekanan terhadap Pak Lah agar berundur menjadi kenyataan bila Dr. Mahathir membuat keputusan keluar dari Umno dan berikrar akan menyertainya semula setelah Pak Lah meletakkan jawatannya. Langkah Dr. Mahathir itu telah memberi kesan.

Sehingga Pengerusi DAP, Karpal Singh dan beberapa pemimpin pembangkang lain mengecam Dr. Mahathir dan memberi sokongan pada Pak Lah. Ini dapat difahami kerana pihak pembangkang lebih suka Pak Lah kekal sebagai PM dan ini memudahkan peluang pembangkang memenangi pilihan raya lantaran kelemahan Pak Lah sebagai ketua kerajaan.

Tindakan pantas Dr. Mahathir yang dibantu Tan Sri Muhyiddin boleh dikira telah menyelamatkan Umno/BN dari terus lemah dan diambil kesempatan parti pembangkang. Kini terbukti jelas selepas Pak Lah menyerahkan jawatan pada Najib; keadaan parti semakin pulih dan kuat - tidak seperti pada 2008.

Walau apa pun ramalan tentang keputusan PRU 13 nanti, kedudukan Umno/BN lebih kuat dan sempurna jika dibanding semasa Pak Lah mengepalai parti menghadapi PRU 12 dahulu. Sekiranya ditakdirkan kerajaan hari ini masih dibawah Pak Lah, maka kerajaan hanya menunggu masa akan tumbang dan memberi laluan pada Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya.

Langkah dan tindakan Dr. Mahathir terhadap Pak Lah membuktikan beliau seorang politikus berpandangan jauh demi parti dan negara. Ia juga sebagai pukulan maut pada pembangkang yang menunggu mengambil kesempatan di atas kelemahan Pak Lah.

Harapan dan peluang BN dalam PRU 13 ini lebih baik dan cerah berbanding dengan tahun tsunami politik 2008 itu.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan