Ahad, 24 Februari 2013

Nazri tidak minat jadi MB

MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Tan Sri Aziz menafikan spekulasi kononnya dia adalah salah seorang menteri kabinet yang teringin menjadi Menteri Besar, Perak yang baru. Dua lagi yang disebut-sebut ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Nazri Aziz
Menurut Nazri, dia tidak berminat dengan jawatan MB itu yang baginya lebih rendah dari jawatan menteri kabinet. Sekiranya dia dilantik menjadi MB, itu bermakna dia telah diturunkan pangkat. Ertinya, jawatan menteri kabinet adalah lebih senior dari seorang MB.

Bagi Nazri, dia mengharapkan Datuk Seri Najib Razak akan terus mengekalkannya di kerusi Parlimen seterusnya memegang jawatan dalam kabinet.

Dalam konteks parti Umno, Nazri bukanlah orang baru. Dia pernah dipilih menjadi Exco Pemuda Umno pada tahun 1978 lagi. Pada tahun 1993 dia dilantik sebagai Naib Ketua Pemuda Umno dan selepas itu memangku jawatan Ketua Pemuda sehingga 1996. Nazri juga telah dilantik menjadi Ahli Majlis Tertinggi Umno dari 1990 hingga sekarang.

Dari segi senioriti dan karakter sebagai seorang pemimpin, Nazri lebih lincah dan mempunyai karismatik berbanding ketiga Naib Presiden Umno sekarang iaitu Zahid, Hishamuddin dan Shafie Afdal. Ternyata sejak 1978 lagi Nazri sudah pun berada dalam exco pemuda sedangkan ketiga Naib Presiden sekarang belum ada nama lagi dalam kancah politik ketika itu.

Apa yang pelik dengan sikap Nazri ialah dia tidak pernah menunjukkan minat untuk memegang jawatan tinggi dalam parti. Dia tidak pernah mencuba nasibnya bertanding dalam jawatan Naib Presiden sebelum ini. Dan dia pernah tidak bertanding dalam sebarang jawatan tertinggi parti ketika semua calon lain sibuk berkempen dan mengidam jawatan tertentu parti.

Sayugia jawatan ahli MKT yang dipegangnya sekarang adalah perlantikan dari kuasa Presiden. Sedangkan sekiranya dilihat rekod dan pengalamannya dalam parti selama ini melayakkan dia bertanding di kerusi Naib Presiden.

Saya tidak berniat memperkecilkan kebolehan ketiga Naib Presiden sekarang seperti Zahid, Hisham dan Shafie, namun ketiganya tidaklah ada yang lebih sangat berbanding Nazri.

Cuma masalahnya Nazri tidak pernah tunjuk yang dia adalah seorang yang 'ambitious' dalam mengejar jawatan tinggi parti. Kalau hendak dikira Nazri pernah bersama Najib dalam barisan exco pemuda dulu. Dan ini memungkinkan dia berada di kedudukan lebih tinggi dalam parti sekarang.

Umno akan mengadakan perhimpunan parti tahun ini selepas PRU 13 ini yang telah ditangguh beberapa kali ekoran memberi tumpuan pada pilihan raya umum. Perhimpunan kali ini akan menyaksikan pertandingan dalam banyak jawatan parti.

Apakah jawatan yang akan ditandingi Nazri kali ini ? Apakah dia akan mengambil sikap sama seperti terdahulu dengan tidak merebut apa-apa jawatan hatta sebagai ahli MKT ?

Sekiranya dia mahu, jawatan paling layak untuknya ialah Naib Presiden.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan