Sabtu, 31 Disember 2011

Khir Johari tokoh liberal

TAN SRI KHIR JOHARI adalah antara pemimpin seangkatan dengan Tunku Abdul Rahman. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 2006 iaitu tahun yang sama pemergian seorang lagi veteran UMNO, Tun Ghaffar Baba. Ghaffar Baba pergi dulu kemudian diikuti Khir Johari.

Selepas merdeka semasa Tunku menjadi Perdana Menteri dan Tun Razak sebagai Timbalannya, Khir Johari adalah tokoh yang dianggap sebagai orang yang penting selepas Tun Razak selain dari Tun Dr.Ismail Abdul Rahman.

Ramai menganggap Tunku lebih rapat dengan Khir Johari, lebih-lebih lagi keduanya membawa imej sebagai pemimpin yang berfikiran liberal dan disukai oleh kaum Cina.

Manakala Tun Razak kelihatan menonjol sebagai pemimpin berimej nasionalis melayu.

Semasa Khir Johari menjadi Menteri Pelajaran beliau telah melaksanakan satu dasar pelajaran kebangsaan yang telah memberi kesan yang amat besar terhadap penggunaan tulisan jawi. Ekoran dasar tersebut penggunaan tulisan jawi telah mengalami hakisan sedikit demi sedikit.

Bagaimanapun, nasib tulisan jawi bukan diletakkan di atas bahu Khir Johari seorang, malah ia adalah dasar dan keputusan kabinet pada masa itu.

Jawatan terakhirnya dengan kerajaan ialah sebagai Duta di Washington. Selepas bersara beliau telah mengasaskan sebuah akhbar Mingguan tabloid, Watan pada awal 80an dengan melantik Subky Latiff sebagai Ketua Pengarangnya yang pertama. Watan terbit sebagai sebuah akhbar bebas tanpa dikongkong oleh parti dan kerajaan.

Menurut Subky, Khir Johari walaupun sebagai bekas orang kerajaan beliau kuat berpegang pada konsep kebebasan akhbar. Keyakinan pada konsep tersebut dan sikap liberalnya itu telah diterjemahkan menerusi Watan - akhbar yang diasaskannya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan