Ahad, 11 Disember 2011

Dr Hassan Ali tersingkir

DATUK Dr.Hassan Ali, exco PAS negeri Selangor, diberitakan tidak akan disenaraikan sebagai calon di dalam PRU 13 nanti. Dr. Hassan ialah tokoh kontroversi dalam kerajaan negeri Selangor dan kepimpinan
tertinggi PAS.

Sebelum ini beliau adalah Pesuruhjaya Tinggi PAS Selangor, tetapi dilucut jawatannya dan diganti oleh Dr.Rani. Ekoran terlucutnya jawatan itu banyak orang melihat ada yang tidak kena dalam PAS Selangor.
Lebih-lebih lagi pendirian Dr. Hassan dalam isu-isu agama tidak sehaluan dengan pendirian parti.

Beliau juga pernah diberi amaran oleh Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat, agar keluar parti di atas peranannya ingin bekerjasama dengan UMNO. Dr. Hassan pernah memegang jawatan Naib Presiden PAS
selama sepenggal, tetapi tidak mempertahankannya pada penggal kedua kerana beliau merasakan sudah
tidak popular lagi dalam parti. Justeru beliau hanya bertanding bagi jawatan dalam Majlis Tertinggi Pusat dan memenanginya.

Dr.Hassan sebelum menceburi politik adalah seorang penceramah motivasi yang popular. Dia sering
muncul di kaca tv dalam pelbagai program.

Krisis pemecatan Anwar Ibrahim dari parti dan kabinet telah mendorongnya terlibat aktif dalam politik.
Dan beliau telah memilih PAS sebagai parti pilihannya. Dengan ertikata lain, faktor Anwarlah beliau telah menjerumuskan dirinya dalam politik.

Namun akhirnya terbukti beliau dan Anwar tidak berada dalam radar yang sama dalam banyak isu politik negara. Kini nampaknya beliau tidak disenangi ramai pemimpin tertinggi parti di atas sikapnya yang dikira tidak sealiran dengan pendirian rasmi parti.

Bagi sesetengahnya pula menganggap Dr. Hassan cuba meraih populariti peribadi dalam setiap tindakannya.
Dan inilah yang menyebabkan  beliau tersingkir dari arus pucuk pimpinan.

Dengan perkembangan mutakhir ini apakah Dr. Hassan akan terus berjuang sebagai orang politik atau
beliau akan kembali sebagai seorang penceramah dan motivasi yang pernah beliau ceburinya dahulu ?

Tetapi jelas bidang politik bukan profesion yang sesuai bagi Dr. Hassan. Ketokohan beliau lebih terserlah sebagai penceramah bebas dan pakar motivasi sebagaimana beliau lakukan sebelum aktif dalam politik kepartian.

Lagipun, faktor besar mendorongnya masuk politik ialah Anwar Ibrahim bukan lainnya.



























































































Tiada ulasan:

Catat Ulasan