Sabtu, 14 April 2012

Dato Husam Musa

Pemimpin muda harapan Pas
PADA awalnya melibatkan diri dalam politik Pas hanya sebagai pemberita akhbar Harakah. Kemudian menjadi Setiausaha Akhbar dan Politik pada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dari situ terus mengorak langkah dalam hieraki parti sehingga menjadi salah seorang Naib Presiden. Husam dikatakan antara pemimpin yang begitu rapat dengan Tok Guru Nik Aziz.

Di Kelantan beliau adalah pemimpin berpengaruh dalam pentadbiran kerajaan negeri dengan tugasnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Ekonomi.

Ada pandangan mengatakan peranan Menteri Besar hanyalah dalam upacara-upacara rasmi dan orang yang memainkan peranan besar disebalik tabir ialah Husam.

Husam jugalah pemimpin muda Pas yang paling lantang menentang usaha dalam parti untuk bekerjasama dengan Umno. Penentangannya itu telah mendorongnya bertanding menentang jawatan Timbalan Presiden Pas yang masa itu disandang Nasharuddin Mat Isa. Namun beliau tewas dengan seorang lagi calon, Mohamad Sabu dalam pertandingan tiga penjuru.

Selepas kekalahan itu banyak pemerhati melihat Husam tidak mungkin akan kembali di barisan ketiga heiraki parti. Tetapi beliau membuktikan telahan itu salah dengan kembali bertapak bila memenangi salah satu dari tiga Naib Presiden dalam muktamar Pas 2011.

Dalam menghadapi pilihanraya umum ke 13, ada khabar bertiup yang beliau akan berpindah ke kawasan Parlimen bagi menumpu dan memain peranan lebih besar di pusat. Tambahan pula Pas dan rakan lain dalam Pakatan Rakyat berhasrat menawan Putrajaya seterusnya menubuhkan kerajaan pusat.

Dengan kelulusannya dalam bidang ekonomi, Husam boleh pergi lebih jauh dan menjadi salah seorang pemimpin potensi kelahiran negeri Che Siti Wan Kembang yang pernah dilahirkan; sebaris tokoh Tengku Razaleigh Hamzah, Allahyarham Tan Sri Asri Muda, Nik Ahmad Kamil, Mohamed bin Yaacob dan terkini Datuk Seri Mustapa Mohamad. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan