Isnin, 9 April 2012

Dr. Hasan Mohamed Ali

Anwar punca segalanya

BILA Dr. Hasan Ali dipecat dari parti PAS beliau menganggap para pemimpin pro Anwar dalam parti mempengaruhi pemecatannya itu.

Ini ekoran tindakan dan langkahnya semasa menjadi Exco Negeri Selangor tidak disenangi PKR dan DAP.

Dan kelmarin Dr. Hasan menuduh Anwar Ibrahim adalah orang yang memainkan peranan dan mempengaruhi dasar perjuangan parti PAS dari negara Islam bertukar menjadi negara kebajikan.

Dr. Hasan sudah tidak dapat menerima lagi Anwar sebagai pemimpin dan meraguinya dalam banyak perkara. Dari soal prinsip perjuangan hingga pada masalah peribadi bekas rakannya itu.

Sedangkan Anwarlah juga merupakan faktor utama Dr. Hasan mencebur dan melibatkan diri dalam politik sepenuh masa dengan menyertai PAS.

Sebelum melibatkan diri dengan politik siasah, Dr. Hasan hanya seorang pakar motivasi dan penceramah agama yang popular di kaca tv. Tetapi setelah berlakunya peristiwa pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan meletusnya era reformasi beliau telah menerjunkan dirinya dalam membela nasib Anwar yang dianggap telah dianiaya.

Dr. Hasan adalah di antara penceramah setiap malam di rumah Anwar di Bukit Damansara pada awal tempoh laungan reformasi bergema. Pada masa itu beliau begitu nekad dan bulat mempertahankan Anwar dan telah mengkritik hebat segala dasar kerajaan.

Seperti biasa dalam kamus politik tidak ada musuh yang kekal dan kawan yang setia. Kini Dr. Hasan merupakan musuh nombor satu tokoh yang pernah dipertahankannya.

Siapa dipihak yang benar tidak penting. Tetapi senario politik Dr. Hasan cukup menarik. Dia masuk politik kerana Anwar. Dia dipecat juga kerana Anwar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan