Imej dan penampilan menjadi perhatian
SEBAGAI isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor terus mendapat tumpuan dan perhatian dari semua lapisan masyarakat.
Seorang personaliti dan figura utama negara tentulah akan diteropong dari dekat dan jauh segala gerak-geri dari sekecil-kecil hinggalah sebesarnya. Tidak akan ada ruang kosong yang tidak dicelah.
Apa lagi dalam suasana masyarakat negara ini cerita yang panjang seinci boleh jadi sedepa. Malah yang tidak ada cerita boleh diolah menjadi bahan cerita yang menarik.
Itu belum lagi dikira segala tohmahan dan fitnah yang sudah menjadi satu amalan biasa bagi sesetengah golongan. Justeru tuan punya badan perlulah menjaga agar tidak mudah menjadi mangsa dan ruang pada golongan yang sentiasa menunggu peluang.
Dengan suasana politik negara yang banyak menumpu pada soal-soal peribadi kadang-kadang ia boleh mempengaruhi para pengundi. Sebagai orang yang bukan memegang jawatan dan ahli politik seharusnya berada dalam low profile dan tidak terlalu menonjol. Bak kata orang jangan lebih sudu dari senduk.
Apa yang berlaku semasa era Pak Lah Badawi tidak sepatutnya berulang dengan kisah menantunya, Khairy Jamaluddin yang begitu berpengaruh dan memberi imej negatif pada kerajaan. Hingga ada yang menggelar sebagai budak di tingkat 4. Gambaran yang dibayangkan masa itu seolah Pak Lah dikuasai oleh Khairy; termasuk dalam soal pemilihan calon.
Ceciter...ceciter begini walaupun tidak seratus peratus sahih kebenarannya, namun telah memberi kesan besar terhadap corak pengundian dalam pilihanraya.
Dalam konteks PRU 13 perkara sama boleh berulang tetapi dalam konteks tokoh atau figur yang lain pula. Dalam politik setiap pihak lawan akan terus mencari mangsa untuk dikambinghitamkan tanpa belas kasihan. Yang penting undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan