Isnin, 23 April 2012

Terkenang Suharto

Rakyat masih mengingatinya
PRESIDEN Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono semakin tidak popular di kalangan majoriti rakyat. Masalah korupsi dalam pentadbiran kerajaan semakin parah dari pandangan umum.

Langkah kerajaan memotong subsidi dan menaikkan harga minyak telah membangkitkan lagi kemarahan rakyat yang telah pun marah dengan kepimpinan Susilo.

Susilo adalah Presiden ke enam republik itu selepas Megawati Sukarnoputeri. Pada mula pentadbirannya, Susilo begitu popular dan berjaya menarik sokongan sebahagian besar rakyat. Kini popularitinya semakin menurun akibat masalah rasuah yang masih menyelubungi kerajaan pimpinannya.

Selepas Suharto jatuh di era reformasi dan kebangkitan rakyat republik itu telah mengalami banyak pembaharuan dan perubahan. Tidak dinafikan banyak berlaku pembaikan. Namun kebanyakan rakyat kini terkenang kembali zaman Suharto. Walaupun semasa beliau sebagai Presiden imejnya dianggap sebagai seorang diktaktor, namun beliau berjaya mengangkat martabat dan maruah Indonesia di mata dunia. Beliau juga berjaya mengekalkan kestabilan negara dan disegani kuasa-kuasa luar.

B.J. Habibi, penggantinya tidak dapat bertahan lama dan tidak berkemampuan mengekalkan imej dan reputasi Indonesia seperti masa Suharto. Timor Timur yang menjadi sebahagian wilayah Indonesia terpaksa dilepaskan. Habibi tunduk pada tekanan antarabangsa agar diadakan pungutan suara bagi menentukan masa depan wilayah itu.

Selepas Habibi muncul Abdurrahman Wahid, pemimpin Nahdatul Ulama menjadi calon Presiden. Abdurrahman yang cacat penglihatan jelas tidak mampu membawa Indonesia ke tahap lebih tinggi sebagaimana harapan besar rakyat. Beliau hanya mencatat sejarah sebagai Presiden Indonesia yang paling banyak dan kerap ke luar negara; walaupun jangka masa pemerintahannya singkat.

Setelah Abdurrahman digantikan dengan Naib Presiden, Megawati Sukarnoputeri, Indonesia terus kehilangan punca mencari seorang pemimpin yang karismatik dan kuat. Megawati juga gagal seperti Habibi dan Abdurrahman.

Maka muncul Susilo Bambang yang kelihatan menyakinkan dan penuh harapan. Pada awalnya Susilo tidak mengecewakan dan memberi harapan seluruh rakyat republik itu yang memerlukan seorang Presiden sekuat Sukarno dan Suharto.

Namun masalah korupsi yang tenat dan sukar diperangi dalam pentadbirannya telah memberi imej negatif terhadap Susilo di mata rakyat terbanyak. Dengan lain-lain masalah dalaman dan reputasi Indonesia di arena antarabangsa tidak sehebat zaman Suharto. Rakyat kini mula mempersoalkan dan mempertikaikan kredibiliti Susilo sebagai Presiden.

Mereka mula bercakap dan mengenang zaman Suharto yang dianggap lebih baik berbanding zaman sesudahnya. Suharto tidak sempurna dan banyak kelemahan, namun para penggantinya tidak sehebat Suharto dalam mentadbir dan menerajui republik itu.

Suharto bukan sahaja dikenang rakyatnya, tetapi juga turut dirasai jiran serumpunnya, Malaysia. Di bawah Suharto kedua negara serumpun telah menjalin hubungan begitu erat dan akrab ibarat "cubit peha kanan sakit peha kiri." Kini hubungan kedua negara mengalami pasang surut yang tidak menentu bukan seperti era beliau yang harmoni dan konsisten.

Malaysia juga terhutang budi dengan Suharto yang memainkan peranan penting menamatkan konfrontasi terhadap negara ini satu masa dahulu.

   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan