Ahad, 22 April 2012

Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir

Bukan tokoh penting
LANGKAHNYA keluar dari Umno tidak memberi kesan besar pada parti. Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir bukan pemimpin besar dalam parti dan negara.

Dalam Umno jawatan paling tinggi dipegangnya hanya Ahli Majlis Tertinggi. Dia bukan pemimpin Pemuda Umno dan tidak pernah bertanding pun untuk jawatan Naib Presiden.

Bukan kerana dia tidak ingin bertanding dalam jawatan tertinggi itu, tetapi sebenarnya dia tidak layak. Ertinya, Tan Sri Kadir bukanlah pemimpin parti yang terlibat dalam membuat dasar dan keputusan penting parti.

Dalam kabinet Tun Dr. Mahathir Mohamad dia dilantik menjadi Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Dan semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi dia adalah Menteri Penerangan. Itulah sahaja dua jawatan tertinggi yang dipegangnya sepanjang berada dalam kerajaan.

Semasa Umno berpecah dua kumpulan antara Team A dan Team B; Tan Sri Kadir berada di dalam Team B bersama Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam menentang Dr. Mahathir dan Ghafar Baba yang mengetuai Team A.

Kali ini dia bersama Tengku Razaleigh lagi dalam pertubuhan Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) sebuah badan yang separuh hidup dan separuh mati. Dalam Amanah Tan Sri Kadir adalah Timbalan pada Tengku Razaleigh yang memegang jawatan Pengerusinya.

Yang menariknya, Timbalan sudah pun keluar dari Umno tetapi Pengerusinya belum lagi ! Seorang di dalam dan seorang lagi di luar; walaupun nada mereka berdua adalah sama terhadap Umno.

Dalam politik Tengku Razaleigh lebih berpengaruh dari Kadir. Setakat Kadir yang keluar Umno ia tidak memberi kesan apa-apa pada parti. Dia kini boleh mengecam apa saja tentang Umno - parti yang telah memberi nikmat padanya sepanjang karier sebagai ahli politik.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan