Jumaat, 27 April 2012

Datuk Seri Anwar Ibrahim

PRU 13 : Penentu masa depan politiknya
PARTI pembangkang mengira PRU 13 ini merupakan pilihanraya terakhir buat Umno dan Barisan Nasional (BN) berkuasa di Putrajaya.

Malah ada yang meramalkan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak akan menjadi Presiden Umno pertama yang menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen nanti.

Dalam politik lebih-lebih lagi dekat dengan pilihanraya bermacam ramalan akan timbul terutamanya dari para ahli nujum Pak Belalang.

Apakah Najib akan menjadi Ketua pembangkang ? Atau Anwar Ibrahim bakal menjadi Perdana Menteri ke tujuh negara ? PRU 13 yang disebut sebagai ibu segala pilihanraya akan menjadi medan penentuan.

Bagi Anwar Ibrahim, PRU 13 adalah amat penting dalam menentukan masa depannya dalam politik tanahair.  Mahkamah keadilan telah pun membebaskannya dari tuduhan liwat. Kini giliran "mahkamah rakyat" pula membuat keputusan apakah beliau benar bersih dan bebas dari segala tuduhan liar bersabit isu peribadinya.

Sebelum ini Anwar sering mempertikai keadilan dan kebebasan mahkamah di negara ini. Beliau sering merujuk istilah "mahkamah rakyat" sebagai medan bagi mencari kebenaran dan keadilan. Nah, masanya sudah tiba mahkamah rakyat membuat pilihan dan keputusan bagi menentukan masa depan politiknya.

PRU 13 ini adalah yang terakhir buat Anwar; hidup atau mati. Sekiranya Pakatan Rakyat gagal menguasai Putrajaya, maka peluang Anwar untuk menjadi Perdana Menteri akan berkubur begitu sahaja dan tidak mungkin ada harapan lagi pada masa hadapan.

Sebab itulah Anwar kini bertungkus lumus dan berhabis-habisan berkempen untuk memastikan peluang dalam PRU 13 ini tidak terlepas begitu sahaja. Dia tahu sekiranya dia gagal dalam pilihanraya kali ini, dia boleh melupakan hasrat dan cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri. Tidak ada peluang dan harapan lagi untuknya pada PRU 14 ?

Soalnya, apakah beliau akan akur dengan keputusan rakyat dalam PRU 13 nanti ? Tidak akan timbul masalah jika dia berjaya menjadi Perdana Menteri kelak. Tetapi sekiranya BN terus berkuasa dan Pakatan Rakyat kalah teruk; bolehkah dia menerimanya ?

Justeru itu para pemimpin politik akan melakukan apa sahaja bagi menentukan kemenangan. Mereka bertindak seperti orang "desperate" atau istilah desperado iaitu sanggup melakukan apa sahaja asalkan matlamat mereka tercapai. Kerana mereka tahu dalam "pertarungan" kali ini akan menentukan hidup atau mati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan