Kerajaan perlu lebih tegas
KUALA LUMPUR kembali aman dan seperti sediakala hari ini setelah berlaku demonstrasi jalanan anjuran Bersih yang disokong parti-parti pembangkang kelmarin.
Seperti dijangka berlaku insiden yang tidak diingini antara pihak tunjuk rasa dan polis yang mengakibatkan kecederaan dan tangkapan. Malah berlaku kerosakkan pada harta benda dan kemudahan awam. Sampah sarap bertimbun di merata tempat.
Sehari sebelum demonstrasi itu pihak polis telah berjaya mendapat perintah mahkamah melarang perhimpunan diadakan di Dataran Merdeka - lokasi pilihan penganjur Bersih 3.0.
Justeru itu segala tindakan polis adalah melaksanakan larangan dan penguatkuasaan perintah mahkamah tersebut. Tetapi seperti biasa bila berlaku kekecohan pihak polis akan dipersalahkan. Anggota polis yang bertugas bukanlah batang kayu berdiri tanpa berbuat sesuatu. Apatah lagi bila mereka dicemuh dan dicabar dari para demonstrasi.
Kecederaan yang dialami beberapa anggota polis adalah serius dan tidak boleh dipandang ringan. Negara mempunyai undang-undang yang perlu dihormati dan dilaksanakan. Sekiranya orang awam tidak lagi menghormati undang-undang, maka demokrasi akan bertukar menjadi anarki.
Bila anarki wujud tidak ada siapa yang akan selamat dan hidup aman di dalam negara. Oleh itu demokrasi perlulah digunakan sebaik mungkin dan tidak disalahgunakan kerana akibatnya amatlah buruk lebih-lebih lagi negara ini yang berbilang bangsa dan agama.
Demokrasi di Malaysia tentulah tidak sama dengan apa yang diamalkan di negara-negara barat dan maju. Kita mempunyai sistem demokrasi berdasarkan acuan kita sendiri. Apa yang baik diamalkan di barat belum pasti ianya sesuai di sini.
Tunjuk rasa dijalanan, mencabar pihak polis, merosakkan harta awam dan sebagainya bukanlah budaya masyarakat timur, terutama adab orang-orang melayu yang tidak sesekali bersikap kurang ajar. Budaya ini adalah budaya Kuning yang ditiru dari barat.
Sudah sampai masa kerajaan perlu bertegas dan tidak boleh berlembut dengan demonstrasi jalanan seperti ini berulang di masa akan datang. Oleh kerana kerajaan mengambil sikap lembut dan bertolak ansurlah maka ia ditafsirkan sebagai satu kelemahan di pihak kerajaan.
Kerajaan perlu berani dan tegas dalam hal ini walaupun ia boleh menjejaskan sedikit populariti kerajaan. Majoriti rakyat dan negara ini sudah tentu tidak mahu melihat suasana demonstrasi seperti ini akan menjadi satu acara tahunan.
Mereka yang berdemonstrasi adalah sebahagian kecil kumpulan masyarakat dalam negara. Bagaimana dengan sebahagian besar "silent majority" yang senyap dan tidak bersuara. Kepentingan mereka juga perlu diambil kira oleh kerajaan.
Jangan sampai kumpulan minoriti pula yang kelihatan lebih berkuasa dan menentukan hala tuju negara pada masa hadapan. Kerajaan mesti bertindak tegas sebelum terlambat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan