Recep Tayyip Erdogan |
BUAT pertama kalinya dalam sedekad rejim
Israel kelihatan tersisih dalam percaturan politik
di Timur Tengah.
Pihak berkuasa Palestin tetap akan mengistiharkan
sebuah negara merdeka di PBB minggu depan, walaupun
mendapat tentangan dan ugutan dari Amerika.
Qatar telah pun menyuarakan sokongan terhadap
usaha Palestin ini. Kini semua pemimpin Arab
sedang berhimpun di Kaherah, Mesir dalam
pertemuan Liga Arab bagi membincangkan isu ini.
Mesir yang dahulunya merupakan sekutu Arab paling
penting buat Israel dan mempunyai perjanjian damai
pada 1979 dengan negara Yahudi itu - kini menghadapi
revolusi rakyat dan kerajaan baru.
Sebab itu bila berlaku rusuhan di Kedutaan Israel
di Kaherah baru-baru ini, PM Benyamin Netanyahu tidak
mengambil tindakan balas, malah memberi jaminan
negaranya tetap komited dengan perjanjian bersama
Mesir.
Israel tidak mampu untuk kehilangan sekutunya seperti
Mesir dan faedah yang diperolehinya seperti saluran gas
yang disalurkan ke Tel Aviv sejak rejim Hosni Mubarak.
Namun semua ini masih dalam ketidaktentuan dengan
kebangkitan rakyat Mesir yang menuntut kerajaannya
memutuskan hubungan dengan Israel. Lebih-lebih lagi
sentimen anti Israel semakin meningkat di kalangan
majoriti rakyatnya.
Dalam pertemuan pemimpin Liga Arab yang sedang
berlangsung sekarang di Kaherah, PM Turki, Recep Tayyip
Erdogan turut hadir sempena kunjungannya bertemu
pihak berkuasa dan tentera Mesir yang baru mengambilalih
kuasa.
Kehadiran Edrogan telah disambut meriah rakyat Mesir
kerana sikapnya yang tegas dalam hubungannya dengan
negara Yahudi itu. Turki telah memutuskan kerjasama
kententeraan dengan Israel ekoran insiden Flotilla ke
Gaza yang telah mengorbankan sembilan rakyat Turki
ditembak tentera Israel.
Edrogan kini muncul sebagai pemimpin negara Islam
yang tegas bila menghadapi Israel. Selepas Mesir, beliau
akan meneruskan lawatannya ke Tunisia dan Libya.
Orang melihat kini Turki di bawah Edrogan sedang
meluaskan pengaruhnya dan cuba mengambilalih peranan
yang dimainkan Mesir di Timur Tengah sebelum ini.
Turki adalah sebuah negara Islam yang mempunyai
pendirian tegas dalam isu-isu antarabangsa dan dalam
masa yang sama ia berada dalam Pakatan NATO. Sikapnya
yang tidak tunduk dengan rejim Israel menjadi perhatian
ramai.
Dengan jatuhnya rejim Mesir dahulu yang sering tunduk
pada kehendak Israel dan sentimen anti Yahudi yang
semakin membara di Kaherah; ditambah dengan kehadiran
Recep Tayyip Erdogan ; apakah politik di Timur Tengah
dan soal Israel-Palestin akan berubah wajah ?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan