PR mengecam media arus perdana yang dikuasai kerajaan BN kerana liputan yang berat sebelah dan tidak seimbang dan sering memberi gambaran negatif terhadap pembangkang.
Anwar Ibrahim |
Tetapi Anwar lupa semasa dia berada dalam kerajaan BN dan menjadi Timbalan Perdana Menteri; siapakah yang menguasai media tersebut di atas bagi memprojekkan dirinya menjadi populis demi kepentingan politik peribadi. Siapa lagi kalau bukan dia.
Bila dia mula berkuasa langkah pertamanya ialah melantik Johan Jaafar sebagai Ketua Pengarang di Utusan Malaysia. Johan (sekarang Datuk) tidak mempunyai latarbelakang kewartawanan atau bekerja di mana-mana akhbar. Dia hanya seorang penulis skrip drama dan pengarang di Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sudah pasti ketika itu Johan adalah kenalan rapat dan dipercayai sepenuhnya. Sepanjang Johan menjadi orang paling berkuasa di bahagian editorial Utusan beliau telah memainkan peranan dengan berkesan memprojekkan Anwar.
Pengarang kanan seperti Zainuddin Maidin dan Chamil Wariya yang diketahui umum tidak sebulu dengan Anwar dipindahkan ke jabatan lain.
Begitu juga di akhbar Berita Harian. Anwar telah melantik Ahmad Nazri Abdullah, seorang lulusan sejarah sebagai Ketua Pengarang Kumpulan. Nazri seperti juga Johan tidak mempunyai sebarang latarbelakang sebagai wartawan akhbar.
Di TV3 lebih terserlah, Anwar telah menguasai sepenuhnya dengan meletakkan semua orang-orangnya di tempat yang strategik.Boleh dikatakan saban hari liputan tentang pergerakkan Anwar diberi publisiti meluas dan utama mengalahkan publisiti terhadap Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.
Penguasaan dan cengkamannya terhadap semua media inilah menjadi salah satu faktor dia dengan mudah menyingkirkan Allahyarham Tun Ghafar Baba dari kerusi Timbalan Presiden Umno dan seterusnya Timbalan Perdana Menteri.
Dengan kedudukannya sebagai Menteri Kewangan merangkap TPM, Anwar menjadi orang paling berkuasa ketika itu. Namun setelah dia dipecat Dr. Mahathir segalanya hancur musnah sekelip mata. Johan mengundur diri dari Utusan. Nazri dipecat dari Berita Harian. Begitulah keadaannya di TV3. Patah semua kukunya yang mencakar sesiapa sahaja menjadi musuh politiknya.
Kini Anwar temberang lagi dengan menjanjikan sesuatu yang pernah diberi peluang kepadanya satu masa dahulu. Sejarah membuktikan dia lebih teruk dari apa yang dikutuknya. Apakah dia harus diberi peluang lagi ?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan