K. Rajagopal perlu menjawab sebab dia membuat kenyataan itu. Sekiranya jawabannya tidak memuaskan hati Ahli Jawatankuasa Tatatertib FAM, dia bakal menghadapi tindakan hukuman.
Keratan akhbar Utusan |
Baru-baru ini Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Presiden Persatuan Bolasepak Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim telah pun dikenakan hukuman pergantungan akibat mengeluarkan kenyataan mengkritik FAM.
Apakah kali ini giliran Rajagopal pula menerima nasib yang sama ? Kontrak beliau dengan FAM sebagai jurulatih Harimau Malaya akan tamat pada penghujung tahun ini. Kini tumpuannya adalah pusingan kelayakan Piala Asia 2015.
Kejayaan paling manis buat Rajagopal ialah merampas kejuaraan AFF Suzuki 2010 di Jakarta. Selepas itu prestasinya sebagai jurulatih mula merudum dan dipersoal setelah kecewa dalam pusingan kelayakan Piala Dunia. Dan paling kemuncak para penyokong mulai mempersoalkan kedudukannya bila gagal mempertahankan kejuaraan AFF Suzuki 2012.
Rentetan itu dalam beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa prestasi Harimau Malaya semakin hambar dan tidak menunjukkan sebarang peningkatan.
Kini kita sedang menghadapi kelayakan Piala Asia 2015 di Australia. Setakat ini pencapaian pasukan tidak begitu membanggakan. Kalah pada Qatar 0-2 dan menang tipis 2-1 ke atas Yemen. Paling memalukan ialah kekalahan pada pasukan Palestin 0-2 dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini.
Sekiranya sebelum ini para penyokong mengkritik cara Rajagopal mengendalikan pasukannya namun FAM terus mempertahankan dan ingin memberi peluang padanya sehingga kontraknya tamat.
Tetapi dengan perkembangan terbaru dan prestasi Harimau Malaya yang tidak konsisten; apakah FAM sendiri sudah tidak sabar lagi dengan Rajagopal ?
Justeru dengan kes tatatertibnya ini kemungkinan beliau akan terus dihukum pergantungan sehingga tempoh kontraknya tamat hujung tahun ini. Jika ini berlaku khidmat Rajagopal akan berakhir sebelum sampai tempohnya dan membuka ruang untuk FAM mencari jurulatih baru bagi meneruskan cabaran Piala Asia.