BAIK sungguh pendirian kerajaan bila bersedia dan sanggup menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) bagi menyiasat tragedi Memali pada 1985 yang telah mengorbankan orang awam dan anggota polis.
Dan bertambah-tambah baik dan telus sekali bila kerajaan hingga sanggup menubuhkan RCI sekiranya ada permintaan dari individu, pertubuhan dan parti politik. Kita ulang sekali lagi, RCI akan ditubuhkan sekiranya ada permintaan !!
Wow!! Hebat! Itu bukan orang lain cakap. Tetapi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang cakap dalam satu kenyataan.
Kenyataan ini bukan daripada pemimpin Umno seperti Noh Omar, Mat Maslan atau Jamal Md Yunus. Kalau kenyataan tersebut keluar dari mulut mereka bertiga memang sah tidak boleh pakai. Tetapi ini daripada TPM selaku Menteri Dalam Negeri.
RCI telah pun ditubuhkan untuk menyiasat skandal forex Bank Negara. Kes Memali akan menjadi RCI kedua sekiranya sah ia ditubuhkan.
Maka permintaan kita apakah tidak boleh adakan RCI bagi menyiasat skandal 1MDB juga?
Kalau hendak dikira dari segi permintaan dari berbagai pihak dan golongan ia lebih mengatasi dari permintaan kes Memali.
Dari dewan Parlimen hingga ke peringkat rakyat bawahan skandal 1MDB terus menjadi tumpuan dan minat ramai untuk mengetahui pihak mana atau siapa yang telah songlap duit 1MDB masuk dalam akaun peribadi individu tertentu.
Ia perlu disiasat kerana ia melibatkan penyelewengan dan salah guna kuasa di mana kerajaan menjadi penjamin 1MDB.
Zahid Hamidi sebagai orang nombor 2 kerajaan mestilah bersikap tegas dan telus dalam menegakkan keadilan semua pihak. Jangan lah ambil sikap pilih bulu dan melaksanakan dua set undang-undang. Satu untuk pembangkang dan satu lagi untuk penyokong kerajaan.
Tidak ada masalah RCI untuk forex Bank Negara dan Memali. Namun kenapa skandal 1MDB seperti terkunci rapat dalam kotak Akta Rahsia Rasmi?? Apa yang menjadi rahsia?
Jangan anggap rakyat tidak ada mata dan telinga. Mereka melihat apa yang berlaku. Mereka juga pendengar dalam senyap.