Rabu, 11 Februari 2015

Anwar Ibrahim hasilkan Memoir dalam penjara

ANWAR IBRAHIM kini akan menghabiskan masanya selama lima tahun di penjara Sungai Buloh. Satu tempoh masa yang lama dan panjang.

Anwar tentulah mempunyai perancangan bagi mengisi masanya agar ia tidak berlalu dengan sis-sia. Salah satu cadangan yang bagus sekiranya beliau berusaha menghasilkan sebuah memoir hasil tangannya sendiri.
Anwar Ibrahim

Kerana sebelum ini pun buku-bukunya yang telah diterbitkan adalah hasil penulisan orang lain seperti kumpulan ucapan-ucapannya semasa berada di dalam kerajaan.

Anwar boleh usahakan sebuah memoir bagi menjelaskan secara terperinci apa yang sering diungkapkannya sebagai konspirasi politik mahu menjatuhkan dan menyekatnya menjadi Perdana Menteri.

Selama ini ia hanya diterangkan melalui ceramah-ceramah politik yang dikira tidak lengkap dan menyeluruh. Masih ramai para penyokongnya belum mengetahui ceritanya yang sebenar. Inilah peluang terbaik Anwar untuk menjelaskannya satu persatu.

Dan juga ia tentunya menjadi kesempatan terbaik bagi menjawab segala tuduhan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam bukunya," A Doctor In The House" yang menceritakan secara terus terang sisi gelap Anwar dalam kes tuduhan liwatnya.
Sayed Qutub

Selama 16 tahun Anwar diselubungi dengan tuduhan liwat. Ada liwat Satu dan ada liwat Dua. Anwar dan para penyokongnya konsisten melihat isu ini dari sudut politik. Tetapi apa yang dikemukakan di mahkamah sebagai bukti dan keterangan termasuk dari ahli kimia berkenaan dengan sample DNA dan sebagainya sukar ditolak begitu sahaja.

Tambahan para hakim menegaskan tidak ada bukti  dan keterangan bagi menyokong apa yang disebut sebagai satu konspirasi politik. Di sinilah kewajiban Anwar menjelaskannya dengan bukti kukuh bagi menghapuskan kekeliruan orang ramai.

Selagi ia tidak dibuktikan selagi itulah ungkapan konspirasi akan hanya menjadi retorik politik kosong bagi menagih simpati dan sokongan ramai.
Hamka

Ayuh, Anwar buktikanlah ! Ceritalah dan buktikanlah melalui hasil tangan anda sendiri.

Pemimpin Ikhwan Muslimin, Sayed Qutub berjaya menghasilkan Tafsir Fi Zila Lil Quran dalam penjara semasa Mesir di bawah Gamal Abdel Nasser. Begitu juga di Indonesia, Tafsir Al Azhar berjaya disempurnakan oleh HAMKA setelah dipenjarakan oleh Sukarno.

Namun Anwar bukan Sayed Qutub dan bukan juga HAMKA. Tetapi sekurang-kurangnya sebuah memoir politik bukanlah satu permintaan yang terlalu tinggi buat Anwar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan