Rabu, 19 Jun 2013

Rosmah tanding Ketua Wanita Umno ?

ISU isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tidak akan reda. Selagi Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri, isterinya Rosmah akan terus diperhati dari perkara paling kecil sehingga perkara yang lebih besar.

Dari stail rambutnya, pakaian dan cara dia berjalan ia akan menjadi bahan bualan dan kritikan orang ramai. Seolah sudah tidak ada yang kena apa sahaja berkaitan dengan Rosmah.
Datin Seri Rosmah Mansor

Lebih menambahkan masalah lagi sikap Rosmah yang begitu aktif dan tidak boleh duduk diam. Beliau adalah antara isteri Perdana Menteri negara ini sejak Tunku Abdul Rahman yang sama ligat dengan Perdana Menteri.

Banyak program kebajikan datang dari ilhamnya. Banyak juga beliau terlibat dengan badan-badan NGO. Dia pula petah bercakap. Tidak nampak dia kekok atau janggal dalam setiap penampilannya depan umum.

Ini kerana latarbelakangnya sebagai bekas seorang pegawai bank dan mempunyai ijazah universiti. Kebanyakan isteri Perdana Menteri sebelum ini tidak begitu menonjol dan agak low profile. Begitu juga semasa era Dr Mahathir Mohamad, isterinya Dr Siti Hasmah Mohd Ali tidaklah menyaingi populariti suaminya.

Tetapi Rosmah berlainan sedikit. Dia ada kebolehan dan kepintaran. Dan dia pergunakan kelebihannya itu sepenuhnya selagi peluang itu terhidang. Dalam sejarah negara belum pernah gelaran First Lady digunakan oleh isteri Perdana Menteri. Namun kini gelaran itu sudah sinonim dengan Rosmah.

Yang masalahnya ialah publisiti dan penonjolan Rosmah di media tv dan akhbar selama ini agak terlebih dan over sehingga boleh menimbulkan rasa muak dan bosan di kalangan umum. Bukan sedikit faktor Rosmah telah mempengaruhi mood para pengundi dalam PRU13 lalu.

Blogger terkenal Datuk Kadir Jasin pernah menulis dalam blognya menyarankan agar Rosmah bertanding merebut jawatan Ketua Wanita Umno. Katanya ini sebagai langkah menutup segala kritikan dan cemuhan orang terhadapnya.

Ia juga sebagai menguji popularitinya selama ini. Dan paling penting dia memang layak bertanding jawatan itu memandangkan kebolehan dan kepintaran yang ada padanya.

Saranan Datuk Kadir itu memang munasabah. Ia bukan sahaja boleh menghapuskan semua tohmahan dan kritikan umum terhadap dirinya, malah dapat memulihkan imej suaminya Najib yang kena tempias dari imej negatif yang dilemparkan padanya terutama parti pembangkang.

Sekarang orang sibuk bercakap kemungkinan jawatan Presiden Umno akan ditentang dalam Perhimpunan Agung Umno akhir tahun ini. Apakah Rosmah tidak bercadang bertanding merebut jawatan Ketua Wanita Umno ?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan