Isnin, 24 Jun 2013

Khairy perlu kekal Ketua Pemuda

KETUA Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin akan mengumumkan kemudian apakah beliau akan bertanding dan mempertahankan jawatannya dalam Perhimpunan Agung Umno kali ini.

Walau pun pemuda Umno telah mengambil pendirian agar jawatannya itu tidak dipertandingkan, namun beliau bersedia dan terbuka jika ada calon yang ingin bertanding menentangnya.
Khairy Jamaluddin

Sehingga kini seluruh pemuda telah memberi sokongan agar beliau dikekalkan. Tetapi persoalannya apakah Khairy mahu mempertahankan jawatan Ketua Pemuda atau dia lebih berminat mencuba jawatan lebih tinggi iaitu Naib Presiden?

Tempoh perhimpunan Umno masih panjang dan ia boleh berlaku berbagai kejutan dan perubahan lebih-lebih lagi setelah hampirnya perhimpunan yang dijangka akhir tahun ini.

Khairy yang kini telah dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan adalah seorang pemimpin muda yang berpotensi dan bercita-cita tinggi. Dia pernah dibayangkan sebagai antara calon Perdana Menteri pada masa hadapan.

Kedudukkannya sebagai Ketua Pemuda adalah anak tangga pertama ia menaiki ke tahap lebih tinggi dalam pucuk pimpinan parti. Selepas Ketua Pemuda biasanya calon tersebut akan mencuba jawatan Naib Presiden pula seperti yang berlaku pada Ketua Pemuda terdahulu seperti Anwar, Najib, Zahid dan Hishamuddin.

Kesemua mereka meninggalkan jawatan Ketua Pemuda dan berjaya memenangi salah satu kerusi Naib Presiden.

Barangkali, Khairy akan mengikut jejak para pemimpin pemuda terdahulu adalah besar sekali. Namun apakah masanya sudah sampai dan sesuai untuk Khairy berbuat demikian ?

Memandangkan usianya masih muda dalam 30an dia tidak perlu terburu-buru mengintai jawatan Naib Presiden pada masa sekarang. Masa untuk beliau masih panjang. Dia perlu lebih fokus pada jawatannya sekarang sebagai Ketua Pemuda dan Menteri Belia dan Sukan.

Lagi pun tiga jawatan Naib Presiden sekarang masih belum ada kekosongan. Zahid, Hisham dan Shafie Afdal sudah pasti akan mempertahankan jawatan masing-masing. Malah ada para pemimpin yang lebih senior akan mencuba bertanding jawatan itu kali ini.

Justeru itu adalah lebih sesuai Khairy terus mempertahankan Ketua Pemuda sekurang-kurangnya sehingga PRU14. Setakat ini tidak jelas siapa calon yang mampu menggugat kedudukkannya. Boleh dikatakan tidak ada calon yang boleh menyainginya.

Datuk Mukhriz Mahathir yang pernah tewas padanya dahulu kemungkinan tidak akan merebut jawatan Ketua Pemuda, malah akan lebih menumpu pada jawatan Ahli Majlis Tertinggi sahaja. Kerana Mukhriz kini sudah menjadi Menteri Besar, Kedah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan