Rabu, 19 Jun 2013

Ku Li bukan calon alternatif

TENGKU Razaleigh Hamzah disebut sebagai calon pilihan bagi mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Datuk Seri Najib Razak dalam waktu terdekat. Ada dua cara Ku Li boleh menjadi Perdana Menteri; Pertama-melalui undi tidak percaya pada Najib pada sidang parlimen yang akan bermula tidak lama lagi. Kedua-melalui pertandingan jawatan Presiden Umno akhir tahun ini.

Kedua kaedah ini hanya akan berjaya dan menjadi kenyataan sekiranya Ku Li mendapat sokongan besar dari para ahli parlimen dan majoriti ahli Umno seluruh bahagian.
Tengku Razaleigh

Tetapi persoalannya apakah Ku Li akan mendapat sokongan secukupnya bagi menjadikannya satu kenyataan. Kedudukan Najib sebagai penyandang jawatan Presiden parti dan Perdana Menteri bukan sesuatu yang mudah untuk digugat.

Apa lagi mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad setakat ini tidak memberi mesej jelas agar Najib ditumbangkan. Ertinya, Najib masih mendapat sokongan dari Dr Mahathir.

Dengan desas-desus Ku Li berminat mengambil alih jawatan yang dipegang Najib, sudah pasti Dr Mahathir akan memainkan peranan mempertahankan Najib dalam parti dan kerajaan. Antara Ku Li dan Najib tentunya negarawan itu akan menolak Ku Li yang pernah mencabarnya bagi jawatan Presiden.

Walaupun telah bersara Dr Mahathir masih mempunyai pengaruh dan aura bagi mempengaruhi para pemimpin dan ahli Umno dalam menentukan trend pemilihan pucuk pimpinan dan ahli majlis tertinggi. Dalam hal ini Ku Li tidak akan mampu menyaingi pengaruh Dr Mahathir di samping Najib sekali gus.

Ku Li boleh mencuba di parlimen dan di perhimpunan Umno, namun ia tidak akan semudah yang digambarkan. Tetapi tindakan Ku Li ini tidak memberi sebarang risiko terhadap dirinya. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Lagi pun ini adalah percubaan ketiganya mengintai jawatan Presiden sebelum ini semasa Dr Mahathir dan Tun Abdullah Badawi. Dengan Dr Mahathir dia tewas. Dengan Pak Lah dia tidak layak bertanding kerana tidak cukup syarat kuota ketika itu.

Persoalan pokok yang paling penting perlu dijawab pada mereka yang ingin melihat perubahan jawatan Perdana Menteri ialah; apakah Ku Li lebih baik dan lebih kuat kepimpinannya berbanding Najib ? Dibimbangi Ku Li lebih teruk dan lebih lemah dari Najib tidak boleh diketepikan.

Berdasarkan sejarah Umno dan Ku Li tidak ada apa yang istimewa dan besar tentang tokoh dari istana ini. Apa yang pasti ketokohan Ku Li tidak sehebat Tun Musa Hitam, apatah lagi dengan Dr Mahathir.

Oleh itu pemilihan Ku Li sebagai alternatif pada Najib perlu diperhalusi dengan teliti. Jangan jadi seperti lari dari mulut harimau masuk ke mulut buaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan