Rabu, 7 November 2012

Sikap Anwar terhadap Ku Li

Semasa Ku Li lawan Musa Hitam

PADA tahun 1984 Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li bertanding buat kali kedua menentang Tun Musa Hitam bagi jawatan Timbalan Presiden Umno.

Ku Li telah pun tewas pada tahun 1981 dengan 200 undi yang memberi laluan pada Tun Musa terpilih menjadi Timbalan Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri.

Pertandingan kali kedua itu telah berlangsung secara tiga penjuru; dengan Datuk Harun Idris menjadi calon ketiga. Dalam perebutan itu Tun Musa sekali lagi berjaya mengekalkan jawatannya dengan undi yang bertambah dari tahun 1981. Undi Ku Li telah berkurangan dan berpecah pada Datuk Harun Idris.

Ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Ketua Pemuda Umno. Semasa kempen bergiat aktif di seluruh Bahagian parti antara kem Musa dan Ku Li, Anwar sebagai Ketua Pemuda lebih bersikap berkecuali dengan tidak memberi sokongan secara terbuka pada mana-mana calon.

Sedangkan umum mengetahui Dr. Mahathir Mohamad sebagai Presiden berada dibelakang Tun Musa. Dan sikap Anwar ini telah mengecewakan sedikit Tun Musa bila ia ditentang Ku Li buat kali kedua. Begitu pun Anwar tidak juga menunjukkan sokongannya terhadap Ku Li.

Namun bagi Musa sebagai 'calon presiden' sudah tentu dia mengharapkan Anwar memberi sokongan secara terbuka padanya. Tetapi itu tidak berlaku. Sikap Anwar itu telah menggembirakan kem Ku Li. Kerana pada adatnya Ketua Pemuda perlu menyokong Timbalan Presiden.

Justeru itu Tun Musa berkira bukan hanya Ku Li yang akan mengancam kedudukannya bahkan Anwar juga. Tetapi apa pun sehari sebelum hari pertandingan, Anwar telah mengejutkan ramai ahli Umno dan perwakilan dengan menyatakan yang dia menyokong Tun Musa bagi jawatan nombor dua itu.

Tidak pasti apakah faktor sebenar Anwar memberi sokongan pada saat terakhir setelah berbulan berkempen di kalangan ahli. Ia sedikit sebanyak memberi kesan pada para perwakilan semasa mengundi.

Apa yang pasti sikap Anwar itu tidak menggembirakan sangat Tun Musa kerana ia dianggap agak terlewat dan Anwar mengambil masa yang lama untuk menyatakan pendiriannya. Bagi Ku Li pula pendirian Anwar disaat akhir itu seperti menikamnya dari belakang dan memusnahkan harapannya menjadi Timbalan Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan