Rabu, 21 November 2012

Serangan Israel ke atas Gaza

Ujian buat Presiden Morsi

SUDAH masuk hari kelapan regim Israel terus membedil Gaza yang telah mengorbankan 139 nyawa dan beribu cedera. Korban dipihak Israel hanya lima setakat ini.

Regim zionis itu bukan saja mempunyai kekuatan dan kelengkapan senjata canggih, malah dilengkapi dengan 'Iron Dome' yang mampu memintas dan memusnahkan roket yang dilancarkan pejuang Hamas di Gaza. Hingga kini dari 29 roket yang dilancarkan, 14 berjaya dimusnahkan di udara.

Bagi Israel, walaupun Iron Dome belum sampai tahap kesempurnaan, namun ia telah berjaya mengurangkan korban warganya. Manakala roket Hamas dengan segala kekurangannya telah menunjukkan sedikit kemajuan kerana berjaya sampai ke Tel Aviv buat kali pertamanya. Sebelum ini roket Hamas hanya mampu mencecah di sempadan Israel.

Konflik Israel - Palestin meletus kali ini benar-benar akan menguji Mesir yang mempunyai perjanjian damai dengan negara Yahudi itu. Semasa era regim Hosni Mubarak, Mesir tidak mempunyai hubungan mesra dengan Hamas. Ia lebih rapat dengan Fatah pimpinan Mahmoud Abbas.

Sebab itu semasa Mubarak ketika timbul konflik Israel - Hamas, kerajaan Mesir sanggup menutup sempadan Rafah yang menghubungi Mesir - Gaza. Tindakan regim Mubarak itu telah menyusahkan rakyat Palestin dan menggembirakan Tel Aviv.

Tetapi kini setelah regim Mubarak tumbang dengan angin 'Arab Spring', Mesir diterajui oleh Mohamed Morsi dari parti Ikhwanul Muslimin. Morsi dan Ikhwan diketahui umum mempunyai hubungan istimewa dan penyokong kuat pertubuhan Hamas, pimpinan Ismail Haniyeh.

Dengan kedudukannya sekarang sebagai Presiden Mesir; apakah Morsi dapat menterjemahkan melalui tindakan sebagai sekutu Hamas bagi menghadapi kekejaman Israel terhadap Gaza ? Setakat ini Morsi belum mampu mengambil tindakan drastik membuka sempadan Rafah seluasnya bagi rakyat Palestin menyeberangi Mesir.

Israel di bawah Benjamin Netanyahu mahu menguji Morsi dalam konflik kali ini. Netanyahu inginkan pengaruh Morsi terhadap Hamas agar pejuang-pejuangnya tidak lagi melancarkan roket ke bumi Israel. Presiden Morsi kini dalam persimpangan; diantara kepentingan hubungannya dengan Hamas dan obligasinya terhadap kepentingan ekonomi dan politik Mesir dipentas antarabangsa.

Mesir memerlukan tabung wang IMF bagi memulihkan dan membangun ekonomi Mesir yang telah jatuh merudum peninggalan regim dahulu. Mesir juga memerlukan bantuan Amerika dan negara-negara Eropah dalam menstrukturkan kembali ekonominya yang berada diparas rendah dan krisis pengangguran dikalangan rakyatnya. Dalam konteks ini Mesir perlu pada bantuan barat.

Bagi Hamas yang tidak pernah mengiktiraf kewujudan Israel menagih kesetiaan hubungan dengan Ikhwanul Muslimin, pimpinan Mohamed Morsi dalam menghadapi kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin yang sering ditindas dan dizalimi.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan