Ahad, 2 Disember 2012

Najib buktikan kepimpinannya

UMNO kembali pulih dan kuat

SELESAI sudah Perhimpunan Agung Umno 2012 yang penuh bersemangat dan yang terakhir sebelum menghadapi PRU 13 pada bila-bila masa dari sekarang sehingga April 2013.

PRU kali ini adalah ibu segala pilihanraya yang akan menentukan masa depan Umno dan hala tuju negara. Selepas PRU 12 pada 2008 yang menyaksikan prestasi paling buruk Umno dan Barisan Nasional(BN) sejak merdeka dengan hilang majoriti dua pertiga serta empat buah negeri jatuh ke tangan pembangkang.

Dalam suasana buruk dan lemah itulah Datuk Seri Najib Razak mengambilalih pimpinan Umno dan negara dari Tun Abdullah Ahmad Badawi yang terpaksa berundur akibat tekanan dalam dan luar parti ekoran prestasi buruk Umno dan BN pada 2008.

Najib mengambilalih pucuk pimpinan dalam keadaan segalanya rosak dan punah hasil corak pimpinan Tun Abdullah yang boleh dianggap sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri paling lemah. Najib kurang bernasib baik berbanding dengan pemimpin terdahulu darinya kerana dia memikul dan menerima sebuah kerajaan lemah dan bermasalah.

Tidak seperti Tun Abdullah Badawi yang diserahkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sebuah parti dan kerajaan dalam keadaan kukuh dan kuat. Dan boleh dikatakan hampir tidak menghadapi banyak masalah atau isu besar yang perlu ditangani. Pak Lah hanya perlu meneruskan kesinambungan apa yang telah di rintis Dr. Mahathir.

Namun Pak Lah gagal. Dia ingin cuba stail lebih terbuka di bawah pimpinannya tetapi dia gagal mengawalnya sehingga memberi padah pada dirinya malah pada Umno dan BN. Justeru itu tempohnya sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri tidak lama.

Begitu juga dengan Dr. Mahathir sendiri bila dia mengambilalih dari Tun Hussein Onn pada 1981, parti dan negara berada di dalam keadaan baik dan tersusun. Jadi mudahlah dia meneruskan kepimpinan sehingga membawa berbagai kejayaan sepanjang 22 tahun kepimpinannya.

Tetapi keadaan sedemikian tidak berlaku pada Najib. Najib menerima jawatan PM dari Pak Lah dalam suasana yang teruk dan rosak. Selepas PRU 12, 2008 Umno rosak teruk dan imej BN hancur. Semuanya kesan dari kelemahan pentadbiran sebelum Najib.

Dalam konteks ini bukan satu tugas mudah bagi seorang pemimpin dalam membaikpulih dan mengembalikan semula kekuatan parti dan ahli pada keadaan asalnya. Ia memerlukan kualiti dan sesuatu yang luar biasa bagi mencapai matlamatnya.

Hampir tiga tahun mengalas pimpinan parti dan negara, Najib telah buktikan pada semua keberkesanan stail kepimpinannya. Dengan segala pelan transformasinya yang sampai pada denyut dan nadi rakyat ia juga telah berjaya memulihkan semula kekuatan Umno dan BN yang tercalar pada 2008.

Dari riak Perhimpunan Umno 2012 yang baru selesai jelas Umno dan BN sudah siap sedia bagi menghadapi PRU 13. Semangat dan moral para ahli parti begitu tinggi bagi menebus kembali cerita duka pada 2008. Semua ini adalah hasil kecekapan Najib mengurus dan mentadbir dengan baik yang dibantu Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib mampu dan layak meneruskan tugasnya sebagai Perdana Menteri, apatah lagi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak begitu ghairah menjadi PM. Dia lebih suka jadi nelayan. Mahu menangkap ikan katanya. Anwar Ibrahim pula tidak layak menjadi PM kerana masih diselubungi masalah akhlak dan peribadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan