Rabu, 24 Oktober 2012

Anwar kena salahkan dirinya sendiri

Setelah gagal menggantikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri

DATUK Seri Anwar Ibrahim menyalahkan semua orang setelah dia gagal menjadi Perdana Menteri(PM). Dia menuduh ada konspirasi di kalangan pemimpin Umno untuk menjatuhkannya.

Kekecewaannya tidak dapat disembunyikan selepas dia dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan ahli Umno. Bagaimana dia tidak kecewa pada satu ketika ibarat berlari dalam 100 meter, dia hanya berada beberapa meter sahaja ke garisan penamat. Namun dia rebah dan tersungkur dalam keadaan kerusi PM hampir berada dalam genggamannya.

Impiannya hancur musnah setelah dia satu-satunya calon paling jelas akan menggantikan Dr. Mahathir Mohamad sebagai PM dan Presiden Umno. Semua orang menerimanya dan tidak mempertikaikan ketokohannya.

Tetapi satu hakikat yang tidak pernah di akuinya ialah semua yang berlaku adalah takdir dari Allah yang menentukan. Manusia hanya boleh merancang. Dia perlu menerima ketentuan dengan apa yang menimpa ke atas dirinya. Barangkali, tidak ada rezeki untuknya menjadi PM.

Lagi pun dia perlu menyalahkan dirinya sendiri di atas segala tindakannya semasa dia begitu berkuasa. Mungkin semua ini adalah kifarat Tuhan ke atasnya. Banyak pemimpin Umno di peringkat Bahagian dicantas jika tidak menyebelahinya. Di sini dia banyak menggunakan kuasanya sebagai Menteri Kewangan. Apakah Anwar boleh nafikan yang dia juga terlibat dengan politik wang ?

Mangsa politiknya yang paling jelas ialah Allahyarham Tun Ghafar Baba. Tun Ghafar menjadi mangsa Anwar yang menikamnya dari belakang. Semasa Tun Ghafar menjadi TPM dan Timbalan Presiden Umno, Anwar telah berkali-kali secara umum dan terbuka bahawa dia tidak akan menentang Tun Ghafar. Tetapi dalam diam dia bergerak secara senyap bagi menjatuhkan orang tua dalam Umno itu.

Di situ jelas dia seorang yang tidak boleh dipegang pada percakapannya. Di depan cakap lain dan di belakang cakap lain. Seperti orang bertarung, memukul secara curi pihak lawannya dan menikam dari belakang.

Semasa dia Menteri Kewangan ada tuduhan yang mengatakan dia ada menerima duit dari tauke judi sebanyak RM 250 ribu. Hingga kini tuduhan itu tidak dinafikan dan dibersihkan ke atas dirinya. Si penuduh telah mencabar Anwar bersumpah secara berdepan dengannya bagi membuktikan kebenaran tuduhan itu. Seperti biasa tidak ada respon dari Anwar dan dia terus membisu.

Ini adalah sebahagian kecil kemungkaran yang dilakukan Anwar semasa dia begitu berkuasa. Ada banyak lagi. Jadi dia tidak perlu kecewa sangat bila dia tersungkur dan gagal menjadi PM ke 5 selepas Dr. Mahathir.

Dia tidak perlu menyalahkan orang melainkan diri dia sendiri apa yang menimpa dirinya. Dia dipenjara dan dipukul - semua itu adalah balasan apa yang dilakukannya. Kini dia mahu terus menjadi PM dengan apa cara sekali pun, hatta dia perlu berbohong.

Anwar tidak perlu risau sekiranya dia jujur dan benar, Allah akan makbulkan impiannya itu. Orang yang benar akan menempah kejayaan. Namun jika dia gagal kali ini dalam PRU 13 nanti dia perlu menunaikan janjinya akan bersara dan kembali semula mengajar.





Ahad, 21 Oktober 2012

Kelantan Juara Trebel

Rangkul Piala Malaysia tewaskan ATM 3-2

KELANTAN mencatat sejarah bolasepak negara dengan memenangi ketiga Piala berprestij di negara ini - Piala Liga Super, Piala FA dan semalam Piala Malaysia dengan menundukkan ATM 3-2 dalam masa 120 minit di Stadium Shah Alam.

Walau pun pasukan The Red Warriors itu turun tanpa dua penyerang utama, Mohammad Ghaddar dan Norfarhan ia tidak menjejaskan rentak permainan pasukan itu.

Dengan jumlah lima gol dapat dihasilkan dalam perlawanan akhir itu tentunya telah menghiburkan para penyokong kedua pasukan - walaupun dalam separuh masa pertama permainan agak perlahan dan tidak menarik. Dalam separuh masa kedua rentak permainan mula pantas dan mendebarkan.

Dari analisis keseluruhan permainan kedua pasukan dapat disimpulkan kelemahan ketara para pemain tempatan ialah mereka gemar menghantar bola tinggi. Semasa separuh masa permainan kurang menarik kerana para pemain kedua pasukan banyak bermain bola tinggi. Tidak ada hantaran-hantaran pendek dan tepat pada rakan. Banyak hantaran sia-sia dan sering bola berada di luar padang.

Dan ini menyebabkan permainan tidak lancar dan tersekat-sekat. Teknik hantar bola jauh dan tinggi sudah tidak dipraktikkan lagi di Liga-liga Eropah seperti La Liga dan Serie A. Di England sendiri di mana corak permainan sebegini amat popular sudah mulai ditinggalkan.

Seperti perlawanan semalam masih ada para pemain yang sudah pun berada dalam kawasan kotak penalti lawan masih mahu menghantar bola tinggi pada rakan. Kebanyakan hantaran seperti itu tidak sampai dan sia-sia. Di Eropah seperti pasukan Barcelona atau Real Madrid, para pemain lebih gemar menghantar bola rendah dan pendek melalui celah-celah kaki dan kangkang pihak lawan.

Mereka memang ada menghantar bola jauh dan tinggi, namun ia tidak banyak dan lebih bergantung pada situasi permainan. Tetapi kita di sini para pemain hampir 90% mengamalkannya.

Permainan bolasepak yang menarik dan berkesan ialah melalui hantaran pendek dan rendah serta kawalan bola atau "ball possession" . Ini yang tidak ada pada para pemain tempatan kita.









Jumaat, 19 Oktober 2012

Dr. Mahathir pecat Anwar adalah betul

Keputusan Hakim mengesahkan

APAKAH tindakan Dr. Mahathir memecat Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1999 adalah satu kesilapan ? Dan adakah ia menjadi punca orang melayu berpecah ?

Bagi mereka yang mengikuti perkembangan politik Umno sekitar 1990an pasti dapat membuat satu rumusan. Semasa menjadi Perdana Menteri, Dr. Mahathir telah mempersiapkan bahawa Anwar adalah penggantinya. Rancangan ini hampir menjadi realiti sehinggalah ke saat terakhir Dr. Mahathir mengambil cuti panjang dengan Anwar menjadi pemangkunya.

Namun Allah lebih berkuasa menentukan segalanya. Semasa Anwar memangku jawatan Perdana Menteri semua rahsia peribadinya telah terbongkar. Pada peringkat awal Dr. Mahathir menolak segala tuduhan dan cerita mengenai pemangkunya yang bakal mengambilalih menerajui negara. Tetapi seperti kata pepatah, tiada angin pokok tidak akan bergoyang.

Selepas siasatan polis dibuat, Dr. Mahathir telah berpuas hati dengan segala maklumat yang diterima. Justeru beliau mengambil keputusan di saat terakhir bahawa Anwar Ibrahim tidak layak dan tidak sesuai menggantikannya sebagai PM.

Dengan itu Anwar dipecat dari parti dan kerajaan. Jawatan TPM dipecat adalah dari kuasa PM yang tidak boleh dipertikaikan. Itu adalah hak PM. Manakala Anwar dipecat dari Umno adalah hasil konsensus dan keputusan majoriti Ahli Majlis Tertinggi parti setelah Anwar diberi peluang membela diri.

Oleh itu cakap-cakap pemecatan Anwar menjadi punca orang melayu berpecah dan Mahathir dipersalahkan adalah tidak benar. Hakikatnya keputusan itu adalah tepat bagi menyelamatkan negara ini dipimpin oleh seorang yang diragui karekternya.

Dan ini diperkukuhkan lagi dengan keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama enam tahun terhadap Anwar di atas kesalahan salah guna kuasa (rasuah). Dalam kes liwat pula membabitkan Azizan Abu Bakar, Hakim memutuskan membebaskannya di atas alasan bukti tidak mencukupi bagi mensabitkan tertuduh. Namun dalam hujah bertulisnya, Hakim telah berhujah bahawa insiden liwat ada berlaku. (Sila rujuk keputusan bertulis hakim).

Dalam kes liwat 2 melibatkan Mohd Saiful, mahkamah juga mengambil keputusan membebaskan Anwar kerana mahkamah tidak dapat mensabitkan kesalahan terhadap tertuduh ekoran kekurangan bukti sokongan. Seperti dalam kes liwat satu, mahkamah mendapati dan menerima kejadian liwat ke atas Saiful ada berlaku. Bagaimanapun, mahkamah perlu berhati-hati dalam menjatuhkan hukuman.

Dari keputusan para hakim dari dua kes liwat itu jelas gambaran sebenar kes yang menyelubungi Anwar. Kini kes liwat 2 masih dalam proses rayuan dari Peguam Negara.

Maka soalannya; apakah tindakan Dr. Mahathir memecat Anwar itu salah ? Lu..pikirla sendiri... 



Khamis, 18 Oktober 2012

Pilihanraya Presiden Amerika

Obama atau Romney ?

HANYA tinggal beberapa minggu lagi rakyat Amerika akan menentukan sama ada Barack Obama kekal sebagai Presiden atau Mitt Romney, bakal Presiden yang baru.

Setelah berlangsung debat dua pusingan; pertama dimenangi Romney dan kedua ramai memilih Obama mempunyai sedikit kelebihan.

Tumpuan kedua calon Presiden ini lebih pada soal ekonomi seperti pemotongan cukai, peluang pekerjaan dan memulihkan kembali ekonomi negara kuasa besar itu. Tidak kurang penting juga masa depan hubungan dengan sekutu rapatnya Israel.

Buat masa sekarang jelas Israel tidak begitu menyenangi dasar dan polisi Obama di Timur Tengah terutamanya berkaitan dengan usaha Iran menjadi kuasa nuklear. Israel menganggap Amerika terlalu berlembut dalam mengambil tindakan terhadap negara Parsi itu.

Paling menimbulkan rasa tidak puas hati negara Yahudi itu ialah sikap Obama yang tidak mengambil kesempatan mengadakan pertemuan dengan Benyamin Netanyahu ketika pemimpin Israel itu melawat New York baru-baru ini.

Calon Republikan, Mitt Romney pula menunjukkan dia lebih pro Israel dalam menentukan dasar luarnya jika
terpilih menjadi Presiden, termasuklah mengambil tindakan keras terhadap Iran. Romney pilih cara ketenteraan bagi menghalang Iran menjadi kuasa nuklear. Satu pilihan yang dikehendaki negara Yahudi itu yang tidak dilaksanakan Obama.

Bagi Palestin dan negara-negara Islam sama ada Obama atau Romney menjadi Presiden tidak memberi banyak perbezaan. Namun sekiranya calon Republikan, Romney terpilih suasana politik di Timur Tengah akan lebih tegang. Sejarah membuktikan parti Republikan lebih agresif dari Demokrat dalam mencorakkan politik di kawasan itu dan komitmennya  melindungi kepentingan Israel.




Isnin, 8 Oktober 2012

Bela nasib melayu

Ibrahim lebih konsisten dari Anwar

DI PARLIMEN dia digelar sebagai katak kerana sering bertukar parti. Namun apa gelaran sekali pun, Datuk Ibrahim Ali tetap bersuara lantang dalam memperjuangkan apa yang diyakininya.

Bermula sebagai ahli PAS semasa era Datuk Asri Muda kemudian menyertai Berjasa, parti yang diasaskan bekas MB Kelantan, Datuk Hj.Mohamad Nasir yang dipecat oleh parti PAS ekoran krisis politik di Kelantan tahun 70an.

Selepas Berjasa terkubur dan mati tanpa batu nisan, Ibrahim menyertai Umno. Dalam Umno dia telah menjadi pengikut Tengku Razaleigh Hamzah yang setia. Bila Ku Li tewas dengan Dr. Mahathir dalam pertandingan jawatan Presiden Umno, dia turut bersama Ku Li menubuhkan parti tidak cukup angka iaitu Semangat 46.

Bila 46 dibubar dia bersama Ku Li kembali menyertai Umno. Duduk dalam Umno tidak lama kemudian dia dipecat kerana sikapnya yang tidak dapat menerima keputusan parti mengenai kedudukannya di Bahagian Pasir Mas. Justeru itu dia isytihar dan bertanding sebagai calon Bebas.

Oleh kerana PAS mahu memperalatkan Ibrahim Ali bagi melawan Umno, maka dia diberi kebenaran menggunakan tiket PAS dalam PRU 12. Dia menang di Pasir Mas. Lantaran niat PAS itu tidak ikhlas maka kini Ibrahim telah menjadi musuh nombor wahid parti itu.

Begitulah rentetan politik Ibrahim Ali sejak tahun 70an. Dia cuba kembali lagi pada Umno, namun ramai ahli menolak hasratnya itu. Maka itulah tertubuhnya Perkasa dengan beliau sebagai Presiden.

Sekiranya Karpal Singh melabelnya sebagai katak, memang ada kebenarannya. Namun satu hakikat yang perlu diakui oleh kawan dan lawannya ialah beliau adalah seorang ahli politik yang bersih dari segala skandal.
Tidak pernah terdengar dia gatal dengan isteri orang atau gadis sunti. Jauh sekali terlibat dengan LGBT yang begitu digeruni kini.

Tetapi hakikat yang paling atas dari segalanya ialah Ibrahim Ali adalah seorang yang amat konsisten dalam isu melibatkan kepentingan orang melayu dan Raja. Malah di satu segi dia lebih baik dan lebih konsisten dari calon Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.








Rabu, 3 Oktober 2012

Selepas PRU 13.....

CALON Perdana Menteri Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bayangkan bahawa beliau akan bersara dan kembali mengajar sekiranya pembangkang gagal menawan Putrajaya dalam PRU 13 ini.

Anwar adalah seorang guru sebelum dia aktif dalam politik di Yayasan Anda - sekolah swasta yang diasaskannya bersama rakan-rakannya.

Walaupun kini tersebar luas berita kononnya PKR sudah pun menyenaraikan kabinet bayangannya, Anwar telah pun merancang sekiranya dia gagal menjadi Perdana Menteri. Dia mungkin menjadi guru atau pensyarah sahaja. Kabinet bayangan akan tinggal bayang sahaja.

Dia cukup mengerti sekiranya pakatan pembangkang gagal dalam PRU 13 ini dunia politik dan cita-citanya akan berakhir dan sukar untuk bangkit kembali. Justeru itu PRU kali ini adalah medan hidup atau mati.

Manakala Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga telah pun ada rancangannya sendiri - beliau mahu kembali menjadi nelayan ke laut - suatu riadah yang diminatinya sejak kecil. Dan sesuatu yang beliau tidak dapat lakukan sekarang kerana sibuk dengan dunia politik.

Nampaknya, Anwar dan Ustaz Hadi telah pun berkira-kira kemungkinan yang akan terjadi. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Tetapi kita tidak pula mendengar apa-apa dari Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya mereka gagal mempertahankan Putrajaya. Tidak ada bayangan yang mereka akan rilek dan santai sesudah tidak lagi berkuasa. Bayangan mereka hanyalah terus bekerja dan berjuang untuk parti dan negara.

Semoga mereka akan terus bekerja. Seperti negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah pun hampir sembilan tahun bersara namun terus aktif memberi berbagai sumbangan pada bangsa dan negara. Beliau terus aktif bergerak dan tidak duduk diam. Dalam usia 87 tahun, Tun kelihatan seperti orang muda meneruskan tugas-tugasnya seperti biasa.

Sikap Dr. Mahathir dalam usianya begitu tentunya mencabar Anwar dan Ustaz Hadi yang jauh lebih muda darinya. Apa pun semoga hajat Anwar mahu kembali mengajar dan Ustaz Hadi teringin ke laut akan termakbul selepas PRU 13 nanti. Insya Allah.













Isnin, 1 Oktober 2012

Dr. Mahathir mendahului zamannya

Kepimpinannya menjadi inspirasi

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dipilih untuk menerima Anugerah Peringatan Rafik Hariri (PBB)-Habitat 2012 di satu majlis yang diadakan di New York baru-baru ini.

Dr. Mahathir merupakan penerima kedua selepas Perdana Menteri, Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Anugerah itu diwujudkan melalui Yayasan Rafik Hariri, bekas Perdana Menteri Lebanon yang mati terbunuh. Penerima anugerah diberikan kepada individu, pertubuhan serta institusi di seluruh dunia bagi mengiktiraf pencapaian penting seperti kepimpinan, kenegarawan dan tadbir urus yang baik.

" Di bawah kepimpinan anda yang bijaksana, Malaysia berjaya memainkan peranan penting dalam peta dunia dan sehubungan itu, PBB-Habitat dan Yayasan Rafik Hariri dengan bangga mengiktiraf pencapaian Malaysia dan bekas PMnya yang cemerlang," kata Nazek Rafik Hariri, Presiden Yayasan tersebut.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif PBB-Habitat, Dr. Joan Clos berkata," Kehidupan dan kerjaya Dr. Mahathir menunjukkan beliau berpegang kepada prinsip berpandangan jauh ke depan. Dengan membuat pelaburan dalam infrastruktur fizikal, teknologi dan pengetahuan, beliau juga lebih banyak mendahului zamannya".

Begitulah penilaian dan penghormatan orang asing terhadap ketokohan Dr. Mahathir. Ini adalah anugerah yang entah ke berapa terhadap bekas PM itu di atas kualiti kepimpinan dan visinya yang menjangkau jauh ke hadapan. Nampaknya, orang luar lebih menghargai dan tahu menilai yang mana satu intan dan kaca dalam konteks politik dan kepimpinan negara.

Yang menyedihkan masih ada lagi segelintir rakyat yang masih seperti katak di bawah tempurung dan bersifat terlalu cerdik yang tidak boleh diikut dan bodoh tidak boleh diajar serta terlalu taksub dengan sesuatu golongan yang hanya berjuang di atas isu-isu remeh temeh dan sempit. Mereka tidak dapat membezakan isu kecil dan isu besar serta kepentingan dan keutamaannya.

Ini semua lantaran mereka dipimpin oleh barisan pimpinan yang berjiwa kecil, tidak mempunyai visi dan berpandangan jauh.