Ahad, 21 Oktober 2012

Kelantan Juara Trebel

Rangkul Piala Malaysia tewaskan ATM 3-2

KELANTAN mencatat sejarah bolasepak negara dengan memenangi ketiga Piala berprestij di negara ini - Piala Liga Super, Piala FA dan semalam Piala Malaysia dengan menundukkan ATM 3-2 dalam masa 120 minit di Stadium Shah Alam.

Walau pun pasukan The Red Warriors itu turun tanpa dua penyerang utama, Mohammad Ghaddar dan Norfarhan ia tidak menjejaskan rentak permainan pasukan itu.

Dengan jumlah lima gol dapat dihasilkan dalam perlawanan akhir itu tentunya telah menghiburkan para penyokong kedua pasukan - walaupun dalam separuh masa pertama permainan agak perlahan dan tidak menarik. Dalam separuh masa kedua rentak permainan mula pantas dan mendebarkan.

Dari analisis keseluruhan permainan kedua pasukan dapat disimpulkan kelemahan ketara para pemain tempatan ialah mereka gemar menghantar bola tinggi. Semasa separuh masa permainan kurang menarik kerana para pemain kedua pasukan banyak bermain bola tinggi. Tidak ada hantaran-hantaran pendek dan tepat pada rakan. Banyak hantaran sia-sia dan sering bola berada di luar padang.

Dan ini menyebabkan permainan tidak lancar dan tersekat-sekat. Teknik hantar bola jauh dan tinggi sudah tidak dipraktikkan lagi di Liga-liga Eropah seperti La Liga dan Serie A. Di England sendiri di mana corak permainan sebegini amat popular sudah mulai ditinggalkan.

Seperti perlawanan semalam masih ada para pemain yang sudah pun berada dalam kawasan kotak penalti lawan masih mahu menghantar bola tinggi pada rakan. Kebanyakan hantaran seperti itu tidak sampai dan sia-sia. Di Eropah seperti pasukan Barcelona atau Real Madrid, para pemain lebih gemar menghantar bola rendah dan pendek melalui celah-celah kaki dan kangkang pihak lawan.

Mereka memang ada menghantar bola jauh dan tinggi, namun ia tidak banyak dan lebih bergantung pada situasi permainan. Tetapi kita di sini para pemain hampir 90% mengamalkannya.

Permainan bolasepak yang menarik dan berkesan ialah melalui hantaran pendek dan rendah serta kawalan bola atau "ball possession" . Ini yang tidak ada pada para pemain tempatan kita.









Tiada ulasan:

Catat Ulasan