Selasa, 7 Ogos 2012

Beri betis nak peha...

TIDAK ada parti pembangkang di dunia seperti yang ada di negara ini yang boleh mengkritik dan meremehkan segala usaha kerajaan setiap masa. Asalkannya dari kerajaan semuanya tidak betul dan ditolak.

Dalam keadaan tertentu seolah parti pembangkang adalah kerajaan dan kerajaan pula seperti pembangkang yang mesti patuh atau ikut apa saja kemahuan mereka.

Itu pun masih kedengaran bahawa negara ini belum cukup demokratik dan semuanya dikawal kerajaan.

Dari isu saham Felda, demostrasi Bersih dan terbaru soal tema hari kemerdekaan dan banyak lagi isu lain, membuktikan parti pembangkang di negara ini boleh melakukan apa sahaja yang dikehendaki sekiranya ia tidak sehaluan dengan pendirian mereka.

Mereka boleh mengadakan perhimpunan Bersih satu, dua, tiga dan empat mengikut kesesuaian mereka. Mereka menolak mentah-mentah usaha kerajaan memajukan warga Felda dengan berbagai persepsi dan tohmahan. Dan mereka bukan sahaja menolak segala usaha kerajaan, malah mempolitikkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka.

Dengan parti pembangkang yang satu itu menggunakan agama dan satu lagi perkauman sudah cukup mempengaruhi dan mengelirukan ramai orang. Gandingan agama dan perkauman merupakan ramuan yang mampu menarik minat masyarakat.

Contohnya di Kelantan, isu ketiadaan air di negeri itu adalah benar dan serius. Ia bukan masalah yang diada-adakan atau dipolitikkan pihak tertentu. Kerajaan Negeri di bawah Pas tidak mampu mencari jalan penyelesaian hingga sekarang. Alasan pimpinan negeri bahawa ia adalah fenomena alam adalah satu jawaban untuk membodohkan rakyat negeri itu.

Untuk mengkaburi mata rakyat dibawanya isu royalti dan pembinaan lebuhraya KB-K.Krai. Sedangkan masalah air yang merupakan asasi dan utama kehidupan rakyat tidak diambil tindakan segera.

Parti pembangkang yang berselindung disebalik agama terus mengelirukan rakyat. Agama telah menjadi perisai dan pelindung dari segala kelemahan dan kepincangan mereka dari didedahkan pada umum. Segala kesalahan dan kelemahan diletakkan pada bahu kerajaan pusat. Parti pembangkang tidak pernah salah dan betul dalam segala hal.

Itulah pembangkang di negara ini. Kerajaan pusat pula terlalu memberi muka. Ibarat beri betis nak peha... 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan