Khamis, 9 Ogos 2012

Kelantan perlu perubahan

RAKYAT Kelantan perlu membuat pilihan yang tepat dalam PRU 13 ini bagi memilih kerajaan untuk lima tahun akan datang.

Sudah lebih 22 tahun Pas diberi peluang mentadbir dan memerintah negeri itu di bawah Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Tidak ada kurang dan cacatnya Nik Aziz sebagai MB. Tetapi setakat itulah kemampuannya dalam mentadbir negeri selama dua dekad.

Dari segi batang tubuhnya memang tidak ada tokoh yang dapat menyaingi popularitinya di hati rakyat. Dengan cara hidupnya yang sederhana dan warak seolah sudah tidak ada calon lain yang layak menggantinya.

Namun itu dilihat dan diukur disudut peribadinya. Sebagai seorang ulama dan tok guru dengan tazkirah dan kuliah subuhnya yang mampu menarik ribuan pendengar beliau telah berjaya menempatkan dirinya sebagai seorang begitu berpengaruh dan sukar untuk disanggah dalam isu politik dan agama.

Tetapi dalam bidang pentadbiran dan pengurusan ternyata beliau adalah seorang pemimpin yang gagal. Boleh dikatakan sebagai MB Kelantan beliau hanya bersifat sebagai menyempurna majlis-majlis rasmi. Tidak ada perancangan atau idea untuk membangunkan negeri.

Malah tidak perlu disebut bahawa beliau sendiri tidak tahu menahu tentang ilmu ekonomi dan kewangan. Sedangkan ini adalah faktor penting bagi seorang pemimpin bagi sebuah kerajaan negeri. Peranannya sehingga ini adalah setakat sekitar menjadi imam, bertazkirah, mencukur kepala budak dan sebagainya yang hanya layak dilakukan oleh para ustaz.

Beliau boleh meneruskan kerja-kerja ini sekiranya beliau mahu. Memang itu sudah keahliannya. Tetapi sebagai MB dan pentadbir sememangnya beliau tidak layak dan sesuai untuk terus berada di Kota Darulnaim.

Contoh terbaik isu air di Kelantan sehingga kini tidak ada kenyataan jelas dari beliau bagaimana untuk menyelesai dan mengatasinya. Kalau setakat pergi melawat dan turun padang ke kawasan terbabit dan sekadar menggosok-gosok batang paip dan seterusnya balik tanpa memberi apa-apa jalan penyelesaian; bukti beliau seorang tidak ada ilham dan idea.

Tidak ada niat untuk memperkecilkan beliau sebagai seorang Tok Guru. Tetapi hakikatnya itulah beliau perlu menyerahkan tugas MB kepada yang lebih layak dan mampu. Sebagai seorang ulama beliau sudah berjaya, namun sebagai MB beliau seorang yang gagal.

Rakyat Kelantan tidak boleh terlalu taksub dan bersikap melampau dalam menilai seseorang tokoh apatah lagi seorang bertaraf tok guru. Dalam konteks mengajar dan mentadbir adalah dua bidang yang berbeza dan memerlukan kepakaran masing-masing. Tok Guru Nik Aziz boleh mengajar tetapi tidak mentadbir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan