Rabu, 29 Februari 2012




Butler tinggalkan Kelantan

AKHIRNYA jurulatih dari England,
Peter James Butler telah menamatkan
kontraknya dengan KAFA setelah rundingan
mencapai persetujuan bersama.

Inilah kali kedua Butler meninggalkan
pasukan The Red Warriors dipertengahan
jalan. Pada 2009 beliau berhenti tanpa notis
sebelum pasukannya memulakan kempen
Piala Malaysia.

Namun KAFA memilihnya sekali lagi
bagi menggantikan M. Karathu untuk
membimbing Kelantan musim 2012. Tapi akhirnya jodohnya dengan Kelantan tidak berpanjangan.

Apa yang jelas kontrak Butler ditamatkan bukan disebabkan prestasi beliau sebagai seorang
jurulatih kerana setakat ini The Red Warriors masih berada dikedudukan atas Liga M. Keputusan
KAFA dan Butler bagi menamatkan kontrak lebih cenderung ke arah masalah teknikal antara dua
pihak.

Seperti yang dilaporkan Butler tidak berpuashati cukai pendapatannya dipotong dari gajinya.
Manakala KAFA pula bertegas bahawa gaji beliau telah dinaikkan dan badan tersebut tidak
bertanggungjawab terhadap cukai pendapatannya.

Dan yang paling kemuncak isu KAFA-Butler ini ialah beliau merasakan tidak mempunyai
kuasa dalam menentukan para pemain, terutama pemilihan pemain import. Dalam kes pemain
dari Lebanon, Mohammad Ghaddar yang tidak disenaraikan dalam skuad Kelantan dalam
mengharungi perlawanan Liga seterusnya.

Tindakan KAFA ini disebabkan prestasi Ghaddar yang tidak memuaskan dan sumbangannya
sebagai seorang penyerang adalah menghampakan. Bagi Butler, beliau masih menaruh kepercayaan
pada Ghaddar dan mahu memberi lagi peluang padanya meningkatkan prestasinya.

Ertinya, Butler tidak mempunyai kuasa dalam pemilihan pemain dan terpaksa akur dengan
kehendak KAFA. Inilah dilema yang dihadapi kebanyakan jurulatih, termasuk Butler. Tapi inilah
realiti bolasepak di negara kita yang berbeza dengan England dan Eropah.

Di sini tugas jurulatih adalah melatih dan memilih kesebelasan pemain serta menyusun strategi
dan tektik semasa di atas padang. Tugas pengurus pula menjaga kebajikan dan pembelian para
pemain.

Di England dan Eropah kesemua tugas tersebut dilaksanakan oleh pengurus atau Manager. Beliaulah
yang mengarahkan panel jurulatihnya atau coach apa yang perlu dilakukan semasa latihan atau
perlawanan. Beliau juga mempunyai kuasa yang meluas untuk membeli dan menjual para
pemain dengan persetujuan para pemegang saham.

Sebab itu bila kuasa seseorang pengurus atau manager itu dihadkan atau dipengaruhi pihak
lain mereka akan segera meletakkan jawatan. Suasana ini belum lagi berlaku di Malaysia.
Pengurus dan jurulatih adalah dua tugas yang berbeza.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan