Sabtu, 25 Februari 2012

Amerika dan Israel

Amerika : Kami mohon maaf

SETIAP kali berlaku tragedi
atau pembunuhan yang meragut
nyawa orang-orang Islam - Amerika
dan Israel akan memohon maaf
sebagai tanda kekesalan dengan
apa yang berlaku.

Peristiwa pembakaran kitab Al Quran di sebuah pangkalan tentera
Amerika di Afghanistan beberapa
hari lalu telah menimbulkan kemarahan dan meragut nyawa
orang awam.

Seperti biasa Amerika dan pihak
tentera terbabit telah mengeluarkan
kenyataan kekesalan dan menganggapnya sebagai satu kesilapan dan kekeliruan di pihak tentera di atas apa yang berlaku.

Ini bukanlah kejadian pertama seumpamanya. Tidak berapa lama dahulu berlaku serangan udara
tentera Amerika terhadap sasaran Taliban di Pakistan yang mengakibatkan beberapa orang tentera
Pakistan pula menjadi mangsa korban. Sejak itu hubungan kedua negara menjadi tegang.

Begitu juga di Afghanistan sebelum ini yang telah membangkitkan kemarahan Presiden Hamid Karzai
dari tindakan tentera Amerika yang melakukan serangan memburu anggota Taliban yang mengakibatkan
orang awam menjadi korban.

Kejadian seperti ini terus berulang dan telah menimbulkan kemarahan semua pihak. Tetapi bagi
Amerika, mereka hanya akan berkata, "Kami mohon maaf".

Begitu juga dengan rejim Israel yang melancarkan serangan ke kubu para pejuang Hamas dan telah
mengorbankan sebilangan besar orang awam dan kanak-kanak. Selepas kejadian pihak rejim akan
mengeluarkan kenyataan bahawa mereka hanya menyasarkan para pejuang dan meminta maaf sekiranya
orang awam menjadi mangsanya.

Bagi Amerika dan Israel nyawa orang-orang Islam dan sensitiviti mereka tidak begitu penting
dan tidak perlu dihiraukan. Memadai dengan alasan "maaf" di atas segala apa yang berlaku yang
menimpa mereka. Nyawa dan perasaan umat Islam sudah tidak ada nilai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan