Isnin, 19 September 2011

Tempoh berkempen dalam pilihanraya



ANTARA banyak tuntutan parti pembangkang
di negara ini ialah tentang had tempoh berkempen
dalam sesuatu pilihanraya.

Kebiasaannya tempoh kempen dalam pilihanraya kecil
dan pilihanraya umum adalah dalam masa tujuh hingga
10 hari dan paling lama dua minggu. Tempoh 14 hari itu
jarang berlaku. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lebih
banyak menggunakan kaedah kempen selama 10 hari
pada semua parti untuk berkempen.

Alasan SPR ialah tempoh kempen yang terlalu panjang
boleh menimbulkan berbagai masalah; antaranya soal
ketegangan dan keselamatan dalam masa berkempen.

Parti pembangkang menuntut tempoh kempen selama
30 hari dan bukannya tujuh atau 10 hari seperti yang
diamalkan sekarang.

Alasannya, tempoh yang singkat adalah sukar bagi
mereka untuk menyampaikan segala isi kandungan
manifesto mereka pada rakyat.

Lebih-lebih lagi dalam kes seperti di Sarawak yang
mempunyai kawasan yang luas dan pedalaman yang sukar
dilalui melainkan menggunakan pengangkutan udara.

Justeru tempoh berkempen selama 30 hari amatlah
diperlukan pembangkang bagi menyampaikan segala
kempen mereka mencapai sasarannya. Pada parti
pembangkang tempoh kempen yang pendek cukup
melelahkan.

Namun apa alasan sekalipun, semua pihak perlu
menerima hakikat bahawa, walaupun pilihanraya umum
diadakan setiap lima atau empat tahun sekali; parti-parti
politik di negara ini terus berkempen sepanjang tahun
tanpa henti.

Lihat setelah PRU 12 lalu telah berlangsung sebanyak
16 pilihanraya kecil di atas berbagai faktor, di mana
menyaksikan 8 kemenangan untuk pembangkang dan 8
juga untuk kerajaan.

Selain dari pilihanraya kecil ini kempen-kempen politik
antara kedua pihak terus berjalan tanpa hentinya.
Berbagai isu timbul, satu demi satu isu dieksploitasi
bagi kepentingan parti masing-masing.

Kalau kerajaan menggunakan sepenuhnya media perdana
sebagai saluran kempen, pihak pembangkang tidak kurangnya
dengan segala media sosial dan internet menangkis semua
propaganda kerajaan.

Jadi kempen politik, sebenarnya, berjalan terus dari
hari ke minggu dan bulan hinggalah ke tarikh pembubaran
Parlimen sekarang.

Walaupun sistem di negara kita mengamalkan rakyat
mengundi lima tahun sekali, namun proses kempen
dan mencari undi berjalan sepanjang masa dan sepanjang
tahun.

Kalau tidak percaya, nanti tengok selepas PRU 13 nanti
dan bila terbentuknya kerajaan di pihak yang menang; pihak
yang jadi pembangkang akan terus berpolitik dan berkempen
dalam pelbagai cara - walaupun pilihanraya baru selesai.

Inilah senario politik di Malaysia, terlampau banyak politiking.
Soal kempen 10 hari atau 30 hari sebelum mengundi sudah
tidak relevan kerana semua parti telah berkempen sepanjang
masa, sepanjang tahun.


























Tiada ulasan:

Catat Ulasan