Jumaat, 23 September 2011

Gerakan demokrasi di Bahrain



BAHRAIN adalah antara negara Teluk yang
tidak terlepas dari tempias gerakan pro demokrasi
yang melanda negara-negara Arab lain.

Enam bulan dulu rakyat Bahrain bangkit berdemonstrasi
di jalan-jalanraya menuntut diadakan pembaharuan.
Tetapi gerakan mereka dapat dipatahkan tentera
kerajaan.

Majoriti penduduk Bahrain adalah bermazhab Syiah.
Sedangkan kerajaan yang memerintah sekarang dikuasai
keturunan raja bermazhab Sunni.

Bahrain juga adalah sekutu paling penting buat Amerika
di rantau Teluk. Amerika banyak membantu dan
mempunyai kerjasama rapat dengan negara ini dalam
aspek ketenteraan.

Bila rakyat Bahrain bangun menentang kerajaannya
beberapa bulan dahulu, kerajaannya terpaksa meminta
bantuan dari Arab Saudi bagi membendung ianya
dari terus merebak.

Arab Saudi yang mempunyai hubungan dingin dengan
Iran telah menghantar 1000 orang tentera membantu
kerajaan Bahrain dalam mematahkan gerakan pro
demokrasi di negara itu.

Sememangnya Arab Saudi bimbang pengaruh Syiah
akan bertapak di Bahrain dan akan mempunyai kesan
di rantau Teluk.

Bantuan tentera dari Saudi itu telah berjaya meredakan
suasana tegang yang dihadapi Emir Bahrain.

Kini gerakan pro demokrasi di negara Teluk itu
bangkit kembali setelah ianya reda untuk beberapa
bulan lalu. Rakyat Bahrain kembali ke jalan-jalanraya
menuntut di adakan pilihanraya.

Apa yang menarik perhatian ialah sikap Amerika
dalam isu ini kerana Bahrain adalah rakan strategik
kuasa besar itu di Timur Tengah dan kebimbangannya
pengaruh Syiah bertapak di situ.

Amerika dan Arab Saudi sudah tentu tidak
akan membiarkan perkara ini berlaku kerana
mereka tidak akan membenarkan Iran melebarkan
pengaruhnya.

Amerika sentiasa menyokong gerakan-gerakan
demokrasi di negara-negara Arab bahkan seluruh
dunia. Namun, apakah kali ini di Bahrain, Amerika
akan mengambil sikap yang sama.

Sekiranya, Amerika menyokong rakyat Bahrain
yang kini menuntut diadakan perubahan; bermakna
ia akan membantu satu lagi kerajaan pro Syiah
berkuasa di rantau itu.

Amerika dan Arab Saudi cukup bimbang dengan
perkembangan di Bahrain itu. Manakala Iran pula
sedang tunggu dan lihat.















Tiada ulasan:

Catat Ulasan