Sabtu, 17 September 2011

Pergolakan di selatan Thai



LETUPAN bom yang berlaku di Pekan Sungei Golok
pada Jumaat lalu merupakan kejadian pertama setelah
Thailand di bawah Perdana Menteri baru, Yingluck
Shinawatra.

Dalam letupan tersebut yang berlaku di tiga lokasi
berbeza telah mengorbankan tiga rakyat Malaysia
dan 11 cedera. Manakala berpuluh-puluh rakyat
tempatan cedera dan parah.

Sebelum hari kejadian itu telah pun berlaku pembunuhan
dalam sebuah masjid di wilayah Yala. Dua anggota polis
beragama Islam telah ditembak oleh sekumpulan orang
yang menyamar turut bersembahyang dibelakang mangsa.

Hingga hari ini telah genap 92 bulan krisis pergolakan
di selatan Thailand yang telah mengorbankan lebih
5000 orang.

Kerajaan Thailand yang lama dan baru seakan menemui
jalan buntu dalam menyelesaikan pergolakan yang
berdarah ini. Letupan bom dan siri pembunuhan silih
berganti tanpa henti di empat wilayah yang majoritinya
melayu dan beragama Islam.

Raja Bumiphol pernah suatu masa meminta bantuan
dari Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi perantaraan
antara puak pemisah dan Bangkok mencari jalan
penyelesaian konflik yang telah mengambil masa yang
lama.

Dr. Mahathir telah menerima pelawaan Raja itu
dan bila berada di Bangkok Tun telah menggesa agar
Kerajaan Thailand memberi kuasa otonomi pada
selatan Thailand sebagai jalan penyelesaian.

Namun cadangan Dr. Mahathir itu telah mendapat
reaksi yang keras sebahagian penduduk kota Bangkok
di mana mereka telah mengambil tindakan membakar
gambar Tun sebagai protes.

Selepas peristiwa itu tidak ada lagi usaha atau
inisiatif dari pihak terbabit bagi mengadakan rundingan
bagi meredakan konflik di wilayah selatan itu.

Apa yang jelas Bangkok sudah tidak mampu
meredakan kejadian siri letupan ini dari berlanjutan.
Ia terus berlaku tanpa kawalan dan pencegahan.

Rakyat dari berbagai kaum dan agama terus
berada di dalam keadaan takut dan bimbang.
Tambahan lagi kehadiran sejumlah besar tentera
bergerak di kawasan bandar dan kampung bagi
menjamin keselamatan awam.



















Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan