Sabtu, 10 September 2011

Rakyat Mesir merusuh lagi



KEBANGKITAN rakyat Mesir dan tumbangnya rejim
Hosni Mubarak yang lalu rupanya belum berakhir. Kini
mereka berkumpul lagi di Dataran Tahrir berdemonstrasi
menuntut disegerakan segala pembaharuan.

Selepas rejim dulu jatuh pihak tentera yang mengambilalih
kuasa begitu perlahan dalam melakukan segala pembaharuan
sebagaimana yang diperjuangkan para demonstrasi.

Kini lebih seribu orang berkumpul kembali di dataran
keramat itu melaungkan agar pihak berkuasa menyegerakan
proses pengembalian kuasa pada pihak awam.

Suasana semakin buruk dengan insiden lima anggota
keselamatan Mesir mati ditembak oleh tentera rejim
Israel di sempadan kedua negara beberapa minggu lalu.

Insiden itu berlaku ekoran tentera rejim Yahudi itu
dalam memburu para pejuang Hamas yang dituduh
melancarkan serangan roket di selatan Israel yang
mengakibatkan kematian rakyatnya.

Rakyat Mesir menuntut agar Duta Israel di Cairo
dihantar pulang berikutan peristiwa tersebut. Namun
pihak berkuasa Mesir, terutamanya pihak tentera tidak
berbuat apa-apa tindakan balas dalam isu tersebut.

Justeru itulah berlakunya rusuhan dan pencerobohan
di kedutaan Israel di ibukota Cairo kelmarin. Menurut
agensi berita, para perusuh telah merobohkan pagar simen
yang mengelilingi bangunan kedutaan Israel itu.

Ada yang memanjat bangunan tersebut dan menurunkan
bendera negara Yahudi itu. Lebih mengejutkan para
perusuh telah mengambil beratus dokumen melalui
tingkap bangunan itu dan membuangnya.

Setakat ini dilaporkan lebih 500 orang tercedera
dalam pertempuran dengan pihak keselamatan.

Presiden Barak Obama dan Perdana Menteri, Benyamin
Netanyahu telah menggesa pihak berkuasa Mesir
agar memenuhi tanggungjawab antarabangsa melindungi
kepentingan Israel dan rakyatnya.

Khabarnya, Duta Israel dan seluruh kakitangan kedutaan
telah diterbangkan dengan pesawat tentera ke Tel Aviv
dengan selamat.

Dengan perkembangan yang berlaku ini ia tentu
membimbangkan Amerika dan Israel dalam hubungan
strategiknya dengan Mesir, lebih-lebih lagi
dalam hubungan konflik Palestin dan pergolakan di
Timur Tengah.

Sebuah kerajaan Mesir yang tidak mesra dengan
Washington dan Tel Aviv bakal mengundang dan
memberi laluan pada para pejuang menyusup
ke Tebing Barat dan Gaza melalui sempadan
Mesir-Israel.

Israel akan pastikan ia tidak berlaku kerana
jika tidak negara Yahudi itu bakal menerima banyak
lagi serangan-serangan roket para pejuang Hamas
ke wilayahnya.











Tiada ulasan:

Catat Ulasan