Selasa, 21 Mei 2013

Pilihan kaum Cina

SELEPAS PRU13 kaum Cina adalah paling malang kerana tidak ada lagi wakil dalam kabinet. Sebelum ini melalui MCA mereka menerajui empat kementerian; Pengangkutan, Kesihatan, Perumahan dan Pelancongan.

MCA juga pernah diberi portfolio Menteri Kewangan dengan perlantikkan Presidennya, mendiang Tun Tan Siew Sin dalam kabinet Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak Hussein dari tahun 1959 hingga 1970.

Kaum Cina menerusi MCA pernah menuntut dan memperjuangkan agar diwujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua untuk kaum itu. Namun tuntutan tersebut tidak berjaya setelah mendapat bantahan sebahagian besar ahli Umno dan masyarakat melayu.

Isu Timbalan Perdana Menteri Kedua untuk kaum Cina timbul lagi setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin Pakatan Rakyat (PR). Dikatakan jika PR berjaya berkuasa di Putrajaya, Anwar sebagai Perdana Menteri akan melantik Datuk Seri Hadi Awang (Pas), Timbalan Perdana Menteri (TPM) Pertama dan Lim Kit Siang (DAP), TPM Kedua.

Dan isu TPM Kedua dari pemimpin kaum Cina yang dijanjikan PR telah banyak menarik dan mempengaruhi  trend pengundi kaum itu dalam PRU13 lalu yang majoritinya mengundi pembangkang. Mereka percaya dengan mengundi PR impian untuk melihat orang Cina menduduki salah satu kerusi TPM akan berjaya.

Masyarakat Cina sudah tidak yakin dengan MCA yang gagal memenuhi impian mereka. Justeru itulah MCA ditolak sepenuhnya dalam PRU13 lalu dan menerima tamparan paling hebat dalam sejarah parti itu. Kerana ia kalah teruk MCA menolak wakilnya menerima jawatan kabinet dan peringkat exco negeri.

Bagaimanapun, Datuk Seri Najib Razak masih mengosongkan Menteri Pengangkutan untuk MCA dalam susunan kabinet barunya. Ertinya, dari empat menteri penuh sekarang hanya tinggal satu sahaja. Itu pun kalau MCA masih ada air muka untuk menerima hanya satu jawatan menteri sedangkan pada prinsipnya ia bertentangan dengan pendirian dan keputusan mereka sebelum ini.

Dalam konteks politik Cina di negara ini mereka bukan sahaja kehilangan wakil dalam kabinet yang menjadi tradisi sejak merdeka, malah impian untuk melihat kaumnya dilantik menjadi TPM Kedua tidak tercapai. Pepatah melayu ada berkata, "Yang dikejar tak dapat, yang dikendung keciciran".

Sebaliknya apa yang berlaku kaum India yang merupakan kaum paling minoriti mendapat habuan besar sesudah PRU13. MIC mendapat dua menteri penuh dan dua Timbalan Menteri. Dua lagi dari parti PPP dan Hindraf, Timbalan Menteri setiap satu. Kesemuanya kaum India mendapat enam wakil dalam kabinet.

Apa pun wajah dan bentuk kabinet yang baru dibentuk ia adalah mesej dan terjemahan dari keputusan PRU13 lalu yang dianggap sebagai paling sengit sejak 57 tahun lalu. Kaum Cina telah membuat pilihannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan