Khamis, 16 Mei 2013

Parti menguasai kerajaan

KABINET Datuk Seri Najib Tun Razak yang baru dibentuk bukanlah muktamad sekurang-kurangnya sehingga Disember ini. Selepas Disember ini pasti akan ada perubahan sana sini sempena Perhimpunan Agung Umno yang menyaksikan pertandingan jawatan tertinggi parti.

Perhimpunan ini yang melibatkan pertandingan jawatan dalam parti telah tertangguh beberapa kali bagi menumpukan persiapan menghadapi PRU13 yang baru selesai.

Dengan berbagai analisa keputusan pencapaian Umno dalam PRU13 lalu ahli-ahli Umno sekali lagi akan menentukan corak dan hala tuju parti dengan memilih para pemimpin yang mampu memikul tanggungjawab menghadapi cabaran agar Umno terus kuat dan relevan.

Apakah akan berlaku pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden ? Yang pasti persaingan sengit berlaku pada tiga jawatan Naib Presiden, Ketua Pemuda, Wanita dan semua kerusi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Sehingga kini walaupun ada suara-suara kecil mahu Najib berundur kerana pencapaiannya yang dikira lebih buruk dari Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008 tidak nampak jelas ada calon yang mampu menggugat kedudukannya sebagai Presiden.

Kalau pun ada pertandingan jawatan Presiden, Najib kelihatan sukar untuk ditumbangkan. Walaupun beliau gagal mendapat majoriti dua pertiga namun kejayaan kerusi Umno keseluruhan, mampu mempertahankan Perak dan berjaya merampas Kedah dari Pas adalah satu kejayaan buat dirinya.

Tetapi kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden agak terbuka dan tidak muktamad. Beliau telah menjalankan tugasnya dalam parti dan kerajaan dengan baik. Tidak siapa boleh mempertikaikannya.

Namun kerusi nombor duanya itu senantiasa diintai dan dicemburui oleh para pemimpin tinggi parti yang lain. Cuma kalau ada calon yang dikira agak "heavyweight" yang mampu menggugat Muhyiddin adalah Naib Presiden paling kanan merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Semua ini banyak bergantung pada gerakan di akar umbi. Zahid mempunyai hubungan baik dengan Najib.

Jawatan tiga Naib Presiden pula adalah jawatan yang paling popular dan menjadi medan "testing ground" bagi menguji sokongan para ahli untuk menaiki tangga pimpinan tertinggi parti.

Kali ini kita akan lihat adakah Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang dikritik hebat prestasinya akan terus dipilih kekal sebagai salah seorang Naib Presiden. Hisham perlu pastikan beliau terus terpilih dan menolak segala kritikan terhadap kebolehannya yang sering diperkecilkan.

Perebutan untuk tiga jawatan Naib Presiden ini kebiasaannya akan ditandingi ramai calon muda dan lama yang berpotensi. Seorang lagi penyandang Naib Presiden ialah Datuk Shafie Afdal sebagai mewakili Umno Sabah.

Bagi jawatan Ketua Wanita pula agak terbuka pada semua calon. Dengan Datuk Seri Shahrizat Jalil yang tidak bertanding dalam PRU13 dan bekas Naibnya, Datuk Kamilia Ibrahim dipecat dari Umno ia memberi peluang terbuka pada tokoh-tokoh wanita yang baru dalam parti bagi mengisi kekosongan.

Dalam pada itu Datuk Seri Shahrizat tidak wajar bertanding dan cuba mempertahankan kedudukannya sebagai Ketua Wanita Umno. Beliau harus mengundurkan diri dan memberi peluang kepada pemimpin wanita lain bagi meneruskan kepimpinan wanita sebagai sayap penting Umno.

Untuk jawatan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin yang baru dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan sudah pasti kedudukannya sukar digugat walaupun ditakdirkan ada pertandingan. Khairy akan kekal di situ.

Justeru pertandingan jawatan dalam perhimpunan Umno kali ini tidak dapat dielakkan. Ada yang menang dan kalah. Dan ada muka-muka baru yang terpilih dalam MKT. Dengan itu kabinet akan terus ada perubahan dan penambahan di sana sini.

Akhirnya, bukan kerajaan menguasai parti. Tetapi partilah yang menguasai kerajaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan