Sebagai wakil rakyat dan kini sebagai menteri tugas beliau menjadi bertambah berat dan membebankan. Apa lagi selaku Setiausaha Agung Umno dan BN yang menghadapi cabaran memperkukuhkan kembali parti selepas keputusan PRU13.
Tengku Adnan |
Berdasarkan suasana politik semasa sebagai Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak perlu mempertimbangkan kembali kedudukan Setiausaha Agung Umno yang juga memikul tugas Setiausaha Agung BN.
Sudah sampai masanya kedua jawatan tinggi dan penting itu dibahagikan kepada dua calon dan bukannya seorang seperti sekarang. Tengku Adnan tidak mungkin dapat memikul dan melaksanakan semua tugasnya dalam satu masa dengan berkesan. Kesemua jawatan yang dipegangnya sekarang adalah besar dan penting belaka.
Jika Presiden parti tidak mengarahkannya, Tengku Adnan sayugia perlu melepaskan satu jawatan sama ada Setiausaha Agung Umno atau BN dengan memberi laluan pada calon lain yang layak. Langkah ini adalah untuk kebaikan parti secara keseluruhannya.
Sebenarnya sejak dulu lagi jawatan Setiausaha Agung Umno dan BN dipegang oleh dua tokoh berlainan. Hanya beberapa tahun kebelakangan ini tugas Setiausaha Agung BN dipikul Setiausaha Agung Umno sekaligus.
Satu masa ketika Allahyarham Tun Ghafar Baba masih Naib Presiden Umno dan tidak berada dalam kabinet beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung BN. Manakala jawatan Setiausaha Agung Umno diberikan pada kalangan pemimpin yang rapat dengan Presiden.
Sekiranya tidak silap kedudukan ini berubah bila Tun Ghafar menang jawatan Timbalan Presiden Umno setelah menewaskan penyandangnya, Tun Musa Hitam. Bila Tun Ghafar menjadi Timbalan Presiden, jawatan Setiausaha Agung BN tidak diganti sebaliknya jawatan itu secara otomatis dipegang Setiausaha Agung Umno. Dan kedudukan itu terus kekal sehingga hari ini.
Justeru untuk kebaikan dan keberkesanan parti Umno dan BN dalam mengharungi cabaran seterusnya adalah lebih efektif kedua jawatan penting itu diamanahkan pada dua tokoh berlainan. Barangkali, Tengku Adnan boleh terus kekal sebagai Setiausaha Agung Umno. Dan Setiausaha Agung BN diberikan pada tokoh Umno lain yang layak dan berwibawa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan