Selasa, 28 Mei 2013

Umno kekurangan pemimpin berkaliber

SIFIR matematik dengan sifir politik tidak akan sama dan tidak akan ada titik temu. Jika 5x2= 10 - dalam politik kiraan itu tidak akan memberi jawaban yang sama.

Begitulah dengan sifir politik yang sedang dan akan dihadapi Umno selepas PRU13. Semua orang menjangka lebih-lebih lagi seteru Umno bahawa Datuk Seri Najib Razak perlu berundur dan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ekoran kegagalannya memperolehi majoriti dua pertiga.
Najib Razak

Najib bukan sahaja gagal dapat dua pertiga malahan prestasinya lebih buruk dari Tun Abdullah Ahmad Badawi pada PRU12, 2008. Tun Dollah ketika itu dikira teruk tetapi nampaknya Najib lebih teruk.

Sekiranya Tun Dollah atau Pak Lah dipaksa letak jawatan kerana prestasi teruk, maka apakah Najib yang lebih teruk tidak meletakkan jawatan ? Bagi seteru Umno itulah yang ditunggu dan diharapkan menjadi kenyataan. Mereka seronok jika Najib menimpa nasib sama seperti Pak Lah.

Maka sekarang ada yang mula cucuk Tan Sri Muhyiddin Yassin agar bertanding menentang Najib di kerusi Presiden Umno dalam Perhimpunan parti itu tahun ini. Kononnya jika Muhyiddin tidak bertanding menentang Najib, karier politiknya akan dipancung.

Muhyiddin adalah pemimpin utama dalam parti yang mendesak secara terbuka agar Pak Lah melepaskan jawatannya pada 2008. Beliau disokong dan dibantu Dr Mahathir Mohamad yang bergerak di luar parti.

Banyak orang mengira senario itu akan berulang lagi kali ini apatah lagi Najib dianggap mengecewakan seperti Pak Lah. Namun sehingga kini tidak nampak peristiwa menimpa Pak Lah bakal berulang pada Najib.

Pertamanya seperti kata Dr Mahathir, Umno tidak ada pilihan dan alternatif. Memang hingga kini belum lagi ada pemimpin dalam parti yang dikira layak menggantikan Najib. Bukanlah bererti Najib adalah yang terbaik tetapi beliau sahajalah calon pilihan yang ada.

Pemimpin seperti Muhyiddin, Zahid Hamidi malah Hisham Tok Mudin masih dianggap sebagai belum lagi bersedia untuk mengambil alih. Inilah realiti yang dihadapi Umno sekarang sebagai sebuah parti yang tidak sekuat dulu lagi seperti di era Dr Mahathir dan Tun Musa Hitam (2M).

Dalam konteks kepimpinan politik parti dan negara adalah jelas selepas pengunduran Dr Mahathir setelah 22 tahun menjadi arkitek politik negara ia telah meninggalkan jurang yang begitu besar yang tidak mampu di isi barisan pelapis parti. Tahap dan standard yang telah diletakkannya adalah tinggi.

Sikap dan dasarnya yang tegas serta berwawasan diakui kawan dan lawan. Sepanjang 22 tahun berkuasa semua krisis, cabaran dan halangan berjaya di atasi dengan berkesan seperti perpecahan Umno, krisis mata wang 1998 dan pemecatan Anwar. Semuanya dapat diurus dengan baik.

Apabila Dr Mahathir menyerahkan kerusinya pada Pak Lah pada 2003 segalanya berada dalam keadaan tersusun dan teratur baik dalam parti dan negara. Dan Pak Lah telah mendapat mandatnya yang pertama dengan begitu cemerlang pada PRU11 2004 dengan kemenangan terbesar lebih dari dua pertiga.

Tetapi semua pihak memberikan kredit pada Pak Lah di atas kejayaan besar itu. Dan Pak Lah sendiri mengakui kejayaan itu adalah faktor imejnya yang digelar sebagai Mr Clean. Faktor dan sumbangan Dr Mahathir sebelum itu seolah dilupakan.

Dan ini terbukti selepas dua tahun Pak Lah berkuasa beliau cuba mengubah dan melencong sedikit dari apa yang telah diasaskan Dr Mahathir. Ini termasuklah percubaan Pak Lah mengamalkan dasar yang lebih "terbuka" dari dasar Dr Mahathir yang dikira "tertutup".

Akhirnya Pak Lah menerima habuannya. Dari kejayaan yang dikecapinya pada 2004 hingga awal penggal keduanya kerajaan dan parti pimpinannya mulai tunggang langang seperti tidak ada arah. Banyak keputusan bersifat flip-flop dan tidak ada ketegasan.

Semua pihak memperlekeh dan mentertawakannya sebagai pemimpin nombor satu negara dengan berbagai panggilan seperti Dollah Bodohwi, PM tidur dan sebagainya. Justeru kerosakkan dan kemusnahan parti sudah tidak terkawal dan sukar dibendung.

Yang akhirnya tsunami politik melanda pada PRU12 2008 yang mengejutkan semua pihak. Namun kerosakkan telah berlaku dan bukan mudah untuk dipulihkan seperti sediakala. Dan pada hakikatnya kesan kerosakkan itu diwarisi oleh Najib sehinggalah ke PRU13 lalu.

Najib berusaha membetul dan memulihkan keadaan dengan berbagai dasar yang dikemukakan pada rakyat. Tetapi ia tidak semudah itu. Hakikatnya Pak Lah dan Najib bukan Dr Mahathir. Keduanya jika disatukan sekalipun tidak dapat menyamai ketokohan negarawan itu.

Umno perlu menerima kenyataan bahawa ia kekurangan pemimpin yang berwibawa dan berkaliber. Apakah Najib merupakan pemimpin melayu Umno terakhir ? Sejak 2003 berubah segalanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan