Kekalnya Hisham dalam kabinet mungkin berdasarkan dua faktor; pertama beliau adalah Naib Presiden Umno dan kedua beliau adalah sepupu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Menteri Dalam Negeri adalah satu jawatan berpengaruh dan paling kanan dalam kabinet. Menteri Pertahanan juga adalah jawatan penting dalam kabinet, namun dari segi heiraki ia bawah sedikit pada Kementerian Dalam Negeri.
Tan Sri Muhyiddin Yassin |
Kini Menteri Dalam Negeri diberikan pada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga salah seorang Naib Presiden Umno.
Betapa penting dan seniornya jawatan Menteri Dalam Negeri (MDN) boleh dilihat sebelum ini. Semasa era Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, Timbalannya, Tun Musa Hitam adalah MDN. Begitu juga bila Tun Abdullah Badawi dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) beliau adalah MDN.
Ertinya, jawatan MDN bukan sebarang jawatan; ia hanya diberikan pada tokoh penting dalam Umno yang menguasai kerajaan. Sebelum era Najib jawatan tersebut hanya dipangku oleh PM atau TPM.
Kini jawatan itu bertukar pula pada Datuk Zahid setelah menjadi perbahasan terbuka ketidakpuasan hati rakyat tentang prestasi Hisham sebagai menterinya. Ini bukan kali pertama kredibiliti Hisham dipersoalkan. Sebelum ini ketika beliau menjadi Menteri Pelajaran pun banyak pihak yang tidak puas hati sikapnya yang tidak tegas dalam membuat sesuatu keputusan.
Apa yang sedikit timbul tanda tanya ialah kenapa TPM, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya diletakkan sebagai Menteri Pelajaran ? Mengapa beliau sebagai TPM merangkap orang nombor dua parti tidak dilantik menjadi MDN atau Pertahanan ?
Pada tradisi dan amalan dalam Umno sebelum ini jawatan Menteri Pelajaran diberikan pada Naib Presiden Umno atau Ketua Pemuda. Ia itu pemimpin parti di barisan ketiga. Tetapi Muhyiddin adalah Timbalan Presiden parti.
Dari sudut kepentingan dan kedudukan senarai kabinet, kementerian Pelajaran berada di bawah kementerian Dalam Negeri, Pertahanan dan Kewangan.
Dalam konteks politik Umno, Tan Sri Muhyiddin harus bersabar dan setia pada Najib sebagai pemimpin nombor satu parti dan kerajaan. Beliau perlu mengambil ikhtibar sejarah Umno yang lalu di mana Tun Musa Hitam, Tun Ghafar Baba dan Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri yang tidak jadi Perdana Menteri.
Apa pun kedudukan Tan Sri Muhyiddin adalah hak mutlak Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri. Ia tidak boleh dipertikaikan sesiapa. Lagi pun jawatan TPM bukan satu jaminan ia adalah calon pengganti PM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan