Rabu, 22 Mei 2013

Kalimullah Hassan muncul kembali

KALIMULLAH HASSAN pernah menjadi Setiausaha Akhbar, bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba. Sebelum itu Kalimullah adalah wartawan akhbar Echo dan The Star.

Apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri pada 2003 beliau dilantik menjadi Ketua Pengarang  New Straits Times (NSTP) menggantikan Tan Sri Abdullah Ahmad atau Dollah Kok Lanas.

Sejak itu beliau menjadi orang media yang berpengaruh dan mendapat kepercayaan Perdana Menteri.  Kalimullah telah memainkan peranan besar dalam menaikkan imej dan mempertahankan kerajaan pimpinan Pak Lah.
Kalimullah Hassan

Dikatakan juga beliau mempunyai hubungan rapat dengan Khairy Jamaluddin menantu Pak Lah ketika itu dan memberi peluang padanya membina tapak menjadi seorang korporat dan jutawan hingga kini. Sedangkan pada mulanya beliau hanya seorang wartawan biasa.

Kemuncak sepanjang beliau menjadi orang media yang berpengaruh dan sentiasa dibelakang kepimpinan Pak Lah ialah semasa menghadapi kecaman dan kritikan dari mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir telah mengecam secara terbuka kelemahan Pak Lah dan menantunya Khairy yang dikatakan banyak mempengaruhi bapa mertuanya dalam urusan parti dan kerajaan. Oleh kerana akhbar utama seperti NST dan Berita Harian dibawah penguasaan Kalimullah, maka segala berita tentang Dr Mahathir telah dihalang dan tidak mendapat liputan sewajarnya.

Hanya Utusan Melayu yang memberi ruang dan liputan kenyataan dari Dr Mahathir. Inilah buat kali pertama seorang mantan Perdana Menteri diberi layanan media sebegitu rupa. Ini juga telah membangkitkan kemarahan Dr Mahathir yang telah berusaha menyingkirkan Kalimullah dari jawatannya itu.

Secara kebetulan satu ketika akhbar NST telah menyiarkan lukisan kartun yang dikira menghina umat Islam dan telah mendapat kecaman dari berbagai pihak. Dr Mahathir dan anaknya Mukhriz adalah antara pihak yang mengecam keras penyiaran kartun itu dan mendesak kerajaan mengenakan tindakan terhadap Kalimullah sebagai orang yang bertanggungjawab menyiarkannya.

Nasib Kalimullah ketika itu adalah kritikal yang memungkinkan dia kehilangan jawatannya setelah mendapat tekanan dan kecaman dari banyak pihak. Namun Pak Lah sebagai Perdana Menteri menyelamatkannya dengan tidak mengambil sebarang tindakan dan hanya diberi amaran lisan.

Sudah tentulah keputusan Pak Lah itu mengecewakan Dr Mahathir yang secara terangan memusuhi Kalimullah. Dr Mahathir pernah menyindir nama Kalimullah sebagai gabungan dari dua perkataan Kali dan Mullah.

Tetapi bila Pak Lah terpaksa mengundur diri dan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Najib Tun Razak, Kalimullah juga turut pergi dan menyepi. Dia meneruskan kehidupannya sebagai ahli korporat. Sehingga akhir ini namanya muncul kembali dengan berbagai tohmahan dan kontroversi seolah rentetan dari episod di era Pak Lah.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan