SYUKUR dan tahniah pada Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah menerajui Barisan Nasional (BN) untuk terus berkuasa di negara ini dengan kemenangan majoriti mudah. BN menang 133 kerusi dan Pakatan Rakyat, 89 kerusi.
Walau apapun ulasan dan sudut pandangan hasil keputusan PRU 13 ini yang pentingnya BN, melalui Umno sebagai tunjangnya dapat mengekalkan kuasa di Putrajaya. Soal majoriti dua pertiga tidak penting lagi. Yang pentingnya kerajaan dapat terus berjalan seperti biasa.
Begitu juga kedudukan Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri. Beliau perlu meneruskan peranan dan tanggungjawabnya tanpa menghiraukan sebarang desakan dari dalam atau luar parti agar mengundurkan diri sebagaimana dialami Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008.
Kejayaan Umno memenangi 109 kerusi dari 120 kerusi yang dipertandingkan membuktikan ianya adalah parti yang paling dominan. Umno menyumbang 109 kerusi dari 133 kerusi dimenangi BN. Ertinya, dengan hanya tambahan tiga kerusi dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak, Umno sudah mampu menubuhkan kerajaan pusat dengan majoriti mudah (112 kerusi) tanpa sokongan dari parti komponen lain.
Berbeza dengan parti Pas dan PKR yang diwakili orang melayu yang cuba menggantikan Umno. Pas sebagai parti paling senior dalam PR hanya menang 21 kerusi dan PKR 30 kerusi. Penglibatan Pas dan PKR hanya memberi kejayaan politik pada DAP yang berjaya meraih banyak kerusi (38) secara keseluruhan.
Jelaslah kejayaan Umno adalah hasil dari sokongan majoriti orang-orang melayu. Manakala DAP berjaya mendapat sokongan majoriti kaum Cina. MCA dan Gerakan sebagai parti komponen BN lumpuh sama sekali dan tidak mendapat sokongan kaum Cina.
Justeru kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek, MCA tidak akan menerima apa-apa jawatan dalam kabinet kerajaan akan menjadi kenyataan ?
Sekiranya dilihat pada trend sokongan pengundi Cina pada DAP, apakah Datuk Seri Najib akan menyenaraikan kabinetnya berdasarkan petunjuk yang diberikan kaum Cina sebagai menolak kerajaan ?
Namun jelas dalam PRU 13 ini kaum Cina lebih berani dan komited dari bangsa melayu dalam menumbangkan kerajaan BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan