Zahid membidas parti pembangkang dan para penyokongnya ekoran sikap mereka yang tidak dapat menerima kekalahan dalam PRU13 lalu. Pembangkang terus mengadakan perhimpunan ke setiap negeri bagi membantah kemenangan Barisan Nasional yang dikira tidak sah dan tidak telus atas faktor BN hanya mendapat 46 peratus undi popular berbanding Pakatan Rakyat 54 peratus.
Datuk Zahid Hamidi |
Pada hal undang-undang pilihan raya di negara ini menetapkan parti yang memenangi majoriti kerusi terbanyak adalah pemenang dan berhak menubuhkan kerajaan - BN 133 PR 89.
Kenyataan Zahid itu mendapat reaksi keras dan dianggap sebagai sombong dan angkuh dari para pemimpin pembangkang dan penyokongnya. Dan mereka yang lebih terasa dan sensitif dari kenyataan Zahid itu tentunya kaum Cina yang dianggap sebagai tidak berterima kasih pada kerajaan kerana mengundi pembangkang dan merupakan kaum terbanyak menyertai perhimpunan bantah itu.
Justeru itu isu perkauman nampaknya akan terus panas menyala dan tidak mudah padam sekurang-kurangnya sehingga penghujung tahun ini. Apa lagi Umno akan mengadakan pemilihan jawatan parti di perhimpunannya akhir tahun ini.
Seperti lazimnya bila hampir pemilihan Umno, para pemimpin yang mempertahankan jawatan dan yang baru ingin mencuba merebut jawatan dalam pucuk pimpinan dan ahli majlis tertinggi akan menonjolkan diri mereka sebagai pemimpin/pejuang melayu tulen. Sesuai dengan Umno sebagai parti nasionalis melayu. Maka segala cita-cita perjuangan adalah demi kekuatan dan kepentingan bangsa melayu.
Sekiranya ada antara pemimpin Umno itu kurang semangat kemelayuannya sudah pasti pemimpin itu tidak mampu pergi jauh atau peringkat lebih tinggi dalam parti.
Sejarah membuktikan Tunku Abdul Rahman Al Haj yang disenangi kaum Cina tidak sepopular Tun Abdul Razak Hussein yang dianggap lebih nasionalis melayu jika dibanding Tunku. Begitu juga Dr. Mahathir Mohamad yang pernah digelar "ultra" melayu sehingga beliau begitu popular di kalangan Umno sehingga berjaya mendaki tangga parti dan menjadi Perdana Menteri.
Dan seorang lagi Tun Musa Hitam yang sudah terkenal dengan semangat nasionalisnya. Beliau juga digelar "ultra" melayu bersama Dr. Mahathir dan keduanya pernah dipecat dari Umno oleh Tunku pada 1960an dulu.
Tun Musa berjaya menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1981 setelah berjaya menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden Umno. Jelas kejayaan Musa itu berdasarkan faktor beliau lebih nasionalis berbanding Tengku Razaleigh yang mempunyai imej sama dengan Tunku.
Dan hakikat kegagalan Tengku Razaleigh dalam politik Umno dan cita-citanya menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri adalah kerana beliau gagal menonjolkan dirinya sebagai "ultra" melayu seperti mana Dr. Mahathir dan Tun Musa.
Samalah juga dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau dalam Umno dulu. Anwar membawa imej nasionalis dan Islamis sekaligus dalam meniti hieraki parti dari Ketua Pemuda, Naib Presiden dan seterusnya Timbalan Presiden.
Ertinya, dalam Umno setiap pemimpin yang tidak memperlihatkan dirinya sebagai seorang nasionalis tidak akan mendapat sokongan besar dari para ahli. Itulah sebab pernah berlakunya, Hishammuddin Tun Hussein selaku Ketua Pemuda Umno satu ketika telah mencium keris dalam perhimpunan parti yang mendapat reaksi kurang senang dikalangan bukan melayu. Tetapi yang buruknya, Hisham telah memohon maaf selepas itu. Dan ini juga membuat beliau menjadi kurang popular.
Dalam konteks politik kini yang masih diliputi isu perkauman sesudah PRU13, adalah jelas isu-isu perkauman akan terus dibangkitkan di sebelah sini dan sana. Pakatan Rakyat akan terus menghentam Umno kerana dianggap parti perkauman.
Dalam masa yang sama para pemimpin Umno yang akan berdepan dengan pemilihan parti dan merebut jawatan sudah pasti masing-masing akan menonjolkan siapa yang lebih melayu dan nasionalis dalam meneruskan agenda parti. Dari itu isu-isu kepentingan melayu akan terus berkumandang dan dimainkan.
Cuma harapan agar segala isu tidak menjadi seperti ibarat api semasa kecil menjadi kawan, bila besar menjadi lawan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan