Selasa, 7 Mei 2013

Pas belum mampu ganti Umno

PARTI Pas perlu mengkaji semula perjuangan politik parti itu selepas prestasi buruk dalam pilihan raya 5 Mei lalu. Menang hanya 21 kerusi dari 73 kerusi parlimen yang ditandingi tidak menggambarkan kedudukannya yang mahu menggantikan Umno sebagai parti pilihan orang melayu dan Islam di negara ini.

Sebelum dan semasa PRU 13, Pas telah berkempen begitu hebat bersama parti PKR dan DAP bagi menumbangkan Umno dan Barisan Nasional seterusnya mengambil alih Putrajaya. Tetapi kini semuanya tinggal impian dan khayalan.

Pas bukan sahaja tidak mendapat sokongan majoriti melayu, malah tidak mampu menjadi parti alternatif pada Umno. Bahkan kerusi parlimen yang dimenanginya adalah paling sedikit berbanding PKR - 30 dan DAP - 38.

Sumbangan Pas terbesar dalam PRU 13 lalu adalah memecah belahkan undi melayu dan melemahkan Umno. Dalam masa sama kerjasama Pas dalam Pakatan Rakyat telah melonjakkan sokongan pada DAP dan PKR.

Di Kelantan, kubu kuat Pas masih dapat bertahan dengan sedikit kemerosotan. Di Kedah, Pas gagal mempertahankan kerajaan yang baru sepenggal. Di Selangor, Pas menang 15 kerusi DUN sama jumlah dengan DAP dan PKR 14 kerusi.

Namun harapan Pas untuk melantik calonnya sebagai Menteri Besar Selangor amat tipis sekali. Calon MB Selangor sudah pasti akan dipilih dikalangan calon PKR dan DAP. Kedua parti inilah yang mempunyai pengaruh menentukan kedudukannya. Pas hanyalah penumpang.

Begitulah lemahnya kuasa tawar menawar Pas dalam Pakatan Rakyat. Dalam apa keadaan pun Pas tetap berada di belakang DAP dan PKR. Sekiranya ditakdirkan Pakatan Rakyat menawan Putrajaya, beginilah situasinya di mana Pas bukan parti dominan dan berpengaruh.

Berbeza dengan Umno yang jelas mendapat sokongan majoriti orang melayu sehingga dapat mempertahankan Putrajaya dari jatuh ke tangan pembangkang. Umno menang 88 kerusi parlimen dari 120 kerusi ditandingi. Dan kerusi Umno adalah penyumbang terbesar jumlah 133 kerusi BN dan menjadi tonggak kerajaan yang memerintah.

Pas perlu menerima hakikat kekalahannya dan mengkoreksi diri dalam konteks politik terkini. Pas tidak boleh mengambil sikap menutup pintu pada Umno dalam usaha mengembalikan kekuatan dan perpaduan di kalangan orang melayu dan Islam yang jelas telah berpecah.

Umno juga tidak terkecuali dari mengakui segala kelemahan dan kekurangannya dan perlu mempelajari kesan keputusan PRU 13 bukan sahaja pada orang melayu, malah negara keseluruhannya.

Tetapi satu hakikat yang perlu Pas akur ialah ia belum mampu menggantikan Umno.

Kekalahan tokoh-tokoh Pas seperti Dr. Haron Din, Mohamad Sabu, Sallahuddin Ayub, Husam Musa dan Tuan Ibrahim Tuan Man dalam PRU 13 di kerusi masing-masing adalah bukti para pengundi melayu menolak mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan