Sabtu, 1 Jun 2013

Anwar patut salahkan diri sendiri

DR MAHATHIR MOHAMAD pernah mengakui antara kesilapannya terbesar sepanjang karier politiknya adalah memilih Anwar Ibrahim sebagai calon penggantinya. Sejak mula Anwar masuk Umno dan terus bertanding jawatan Ketua Pemuda menewaskan penyandang jawatan Datuk Hj.Suhaimi Kamarudin dengan majoriti 10 undi - adalah hasil sokongan Dr Mahathir.

Selepas kejayaan itu Anwar yang baru setahun jagung menjadi ahli Umno terus meluncur seperti roket mendaki tangga hieraki pimpinan parti hingga Naib Presiden dan seterusnya Timbalan Presiden.
Hari bersejarah Anwar masuk Umno

Dalam kabinet kerajaan beliau terus diberi tempat bermula sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Menteri Pertanian, Menteri Pendidikan dan kemuncaknya Menteri Kewangan merangkap Timbalan Perdana Menteri.

Semua itu berlaku di atas kehendak dan kuasa Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Dan ini adalah beberapa faktor Tun Musa Hitam ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri, dari awal lagi meletakkan jawatan kerana tersinggung dengan sikap Dr Mahathir mempersiapkan Anwar sebagai calon penggantinya.

Begitu juga selepas Tun Musa letak jawatan dan Allahyarham Tun Ghafar Baba mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri, Dr Mahathir terus melayan Anwar seperti anak emasnya. Sehingga sampai ke satu tahap Anwar kelihatan lebih berkuasa dan lebih berpengaruh dari Tun Ghafar.

Keadaan menjadi bertambah rumit dan samar-samar bila Dr Mahathir sendiri tidak pernah memberi sebarang petunjuk yang beliau mahu Tun Ghafar sebagai penggantinya. Apatah lagi faktor usia Tun Ghafar dengannya adalah lebih kurang sama. Khabar angin bertiup kencang ketika itu bahawa Tun Ghafar adalah TPM sementara.

Berdasarkan perkembangan itulah dan ditambah dengan strategi licik Anwar di seluruh Bahagian Umno negeri melancarkan gerak menjatuhkan Tun Ghafar. Lebih buruk lagi Dr Mahathir bersikap mendiamkan diri dan tidak menyatakan pendiriannya secara terbuka. Dr Mahathir tidak menyatakan sokongannya terhadap Tun Ghafar dan dalam masa yang sama beliau tidak pun menghalang Anwar dari mencabar Tun Ghafar.

Alasan yang pernah diberikan Dr Mahathir dalam situasi itu ialah beliau tidak dapat menghalang kemahuan majoriti ahli Umno.

Demikianlah sikap dan pendirian Dr Mahathir terhadap Anwar yang dianggapnya sebagai pemimpin yang mempunyai imej Islam dan warak. Dan tentulah baginya hanya Anwar satu-satunya calon Perdana Menteri selepasnya.

Harapan dan kepercayaan Dr Mahathir terhadap Anwar terlalu tinggi sehingga beliau sanggup mengenepikan sahabat dan rakan setianya, Tan Sri Sanusi Junid yang tidak sebulu dengan Anwar. Ertinya, beliau lebih percaya pada Anwar dari Sanusi.

Sanusi yang dibantu Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menjelajah ke seluruh Bahagian Umno berkempen menentang hasrat Anwar mencabar Tun Ghafar. Namun gagal dek tidak termampu melawan gelombang Anwar ketika itu yang begitu kencang.

Tetapi dengan sokongan dan kepercayaan Dr Mahathir terhadap Anwar sebegitu rupa tetapi akhirnya Anwar gagal juga menjadi Perdana Menteri. Anwar gagal bukan kerana Dr Mahathir atau lain-lain faktor yang sering diluahkannya.

Anwar gagal berpunca dari dirinya sendiri. Bukan kerana konspirasi atau fitnah. Bukan kerana Mahathir zalim dan sebagainya. Dan juga bukan kerana kerajaan korup dan mengamalkan nepostism.

Laluannya ke kerusi Perdana Menteri terbentang luas ketika Dr Mahathir sudah bersiap mengundurkan diri. Tetapi Anwar telah mensia-siakannya dengan tindakan gopoh dan tidak sabar untuk mengambil alih kuasa dengan merancang secara teratur bagi menjatuhkan Dr Mahathir.

Selain masalah peribadinya dan rancangannya untuk menumbangkan Dr Mahathir itulah menjadi penyebab utama beliau tersingkir dari Umno dan kerajaan. Dr Mahathir seolah baru tersedar selama ini bahawa beliau tersalah pilih dan Anwar bukan calon yang sesuai sebagai penggantinya.

Kini Anwar terus mengidam kerusi Perdana Menteri yang terlepas dari tangannya 15 tahun dahulu. Seperti kata Tun Daim Zainuddin, Anwar akan terus bercita-cita menjadi Perdana Menteri hingga ke saat kematiannya.

Kegagalannya menjadi Perdana Menteri bukanlah disebabkan orang lain tetapi berpunca dari dirinya sendiri.











Tiada ulasan:

Catat Ulasan