Khamis, 18 Oktober 2012

Pilihanraya Presiden Amerika

Obama atau Romney ?

HANYA tinggal beberapa minggu lagi rakyat Amerika akan menentukan sama ada Barack Obama kekal sebagai Presiden atau Mitt Romney, bakal Presiden yang baru.

Setelah berlangsung debat dua pusingan; pertama dimenangi Romney dan kedua ramai memilih Obama mempunyai sedikit kelebihan.

Tumpuan kedua calon Presiden ini lebih pada soal ekonomi seperti pemotongan cukai, peluang pekerjaan dan memulihkan kembali ekonomi negara kuasa besar itu. Tidak kurang penting juga masa depan hubungan dengan sekutu rapatnya Israel.

Buat masa sekarang jelas Israel tidak begitu menyenangi dasar dan polisi Obama di Timur Tengah terutamanya berkaitan dengan usaha Iran menjadi kuasa nuklear. Israel menganggap Amerika terlalu berlembut dalam mengambil tindakan terhadap negara Parsi itu.

Paling menimbulkan rasa tidak puas hati negara Yahudi itu ialah sikap Obama yang tidak mengambil kesempatan mengadakan pertemuan dengan Benyamin Netanyahu ketika pemimpin Israel itu melawat New York baru-baru ini.

Calon Republikan, Mitt Romney pula menunjukkan dia lebih pro Israel dalam menentukan dasar luarnya jika
terpilih menjadi Presiden, termasuklah mengambil tindakan keras terhadap Iran. Romney pilih cara ketenteraan bagi menghalang Iran menjadi kuasa nuklear. Satu pilihan yang dikehendaki negara Yahudi itu yang tidak dilaksanakan Obama.

Bagi Palestin dan negara-negara Islam sama ada Obama atau Romney menjadi Presiden tidak memberi banyak perbezaan. Namun sekiranya calon Republikan, Romney terpilih suasana politik di Timur Tengah akan lebih tegang. Sejarah membuktikan parti Republikan lebih agresif dari Demokrat dalam mencorakkan politik di kawasan itu dan komitmennya  melindungi kepentingan Israel.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan