Khamis, 27 Julai 2023

Parti DAP Dikuasai Emperor

 DAP adalah sebuah parti politik Cina yang dikira paling disiplin dan bersatu sekiranya dibandingkan dengan parti-parti lain. Tidak pernah berlaku ahli-ahlinya yang keluar parti menubuhkan parti serpihan dan menyerang parti asalnya. 

Bukan seperti Umno dan Pas yang banyak melahirkan parti baru oleh bekas ahlinya bila timbul masalah dan perbezaan pendirian dalam parti. 

Parti PKR, Bersatu dan Pejuang ditubuhkan oleh bekas-bekas ahli Umno. Amanah pula adalah serpihan parti Pas. 

Begitu juga sebelum ini parti-parti seperti Berjasa, Hamim dan Semangat 46. Berjasa masih wujud. Semangat 46 telah dibubarkan.  Hamim entah apa cerita. 

Tan Sri Lee Lam Thye, bekas Timbalan Setiausaha Agung DAP, keluar parti kerana perselisihan pendapat dengan bossnya Lim Kit Siang. 

Namun Lam Thye tidak menubuhkan parti baru. Malah tidak pernah mengecam atau memburukkan parti DAP sehingga sekarang. Lee Lam Thye keluar dari DAP 30 tahun dahulu. 

Selepas Lam Thye ada lagi yang keluar parti namun mereka tidak bising atau menubuhkan parti serpihan. Bahkan mereka tidak pernah memburukkan parti asal mereka setelah berada diluar. 

Tidak seperti ahli-ahli Umno dan Pas yang menubuhkan parti serpihan, malah ada yang keluar masuk seperti kedai kopi dan berkerat rotan bermusuh. 

Namun sehari dua ini ada timbul masalah dikalangan ahli DAP di Pulau Pinang menjelang PRN 12 Ogos ini. 

Masalahnya adalah ketidakpuasan hati beberapa wakil rakyat yang digugurkan dari menjadi calon dan digantikan dengan muka-muka baru. 

Antaranya P. Ramasamy, Timbalan Ketua Menteri ll. Mereka telah mengadakan sidang akhbar menjelaskan secara terbuka disebalik keguguran mereka dari menjadi calon. 

Seorang daripada mereka menuduh wujudnya seorang "Emperor" atau maharaja dalam DAP. Dia lah yang memutuskan siapa yang akan menjadi calon. Dan pandangan serta keputusan ahli jawatankuasa parti negeri tidak dihiraukan. 

Siapakah emperor tersebut tidak disebut namanya. Namun semua orang tahu dia adalah Lim Guan Eng, Pengerusi DAP. Lim telah pun menjadi wakil rakyat di Pulau Pinang selama tiga penggal. 

Ada yang persoalkan kenapa Lim terus mempertahankan kerusinya di Air Putih?? Kenapa tidak diberikan peluang calon lain?


Lim Guan Eng ...The Emperor


Ada andaian mengatakan Lim Guan Eng mahu kembali menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang buat kali kedua.  Tetapi ini tidak mungkin berlaku kerana perlembagaan negeri hanya menghadkan Ketua Menteri setakat dua penggal sahaja. Lim sudah dua penggal menjadi KM Pulau Pinang. 

Justeru itu desas desus pucuk pimpinan DAP mahukan calon KM yang baru bagi menggantikan KM sekarang, Chow Kon Yeow. 

Chow dianggap kurang efektif. Tetapi idea ini mendapat banyak tentangan daripada kalangan pimpinan dan para ahli DAP Pulau Pinang. 

Oleh kerana majoriti DAP Pulau Pinang tidak bersetuju maka DAP pusat terpaksa menarik balik cadangan mahu calon KM yang baru. Dengan itu Chow Kon Yeow dikekalkan sebagai KM selepas PRN Ogos ini. 

Namun begitu majoriti ADUN yang menyokong Chow secara terbuka baru baru ini telah menjadi mangsa Emperor dengan tidak dipilih untuk kekal menjadi calon dalam PRN nanti. 

Mereka bukan sahaja berani membuat kenyataan dengan menuduh sikap emperor dalam parti bahkan telah membuat keputusan akan bertanding sebagai calon Bebas. 

Sekiranya ini berlaku ini sedikit sebanyak memberi kesan pada sokongan para pengundi dalam PRN. 

Apakah isu emperor atau maharaja ini akan berlalu begitu sahaja selepas selesai PRN?? Atau ia akan menjadi duri dalam daging pada DAP? 

Perlu diingat Pulau Pinang adalah kubu kuat DAP. Dan majoriti ahl parti adalah anak kelahiran Pulau Pinang. Tetapi si Emperor bukan anak jati Pulau Pinang. 

Sekiranya isu ini tidak ditangani dengan cermat oleh DAP pusat, kemungkinan masalah ini boleh mengheret ke arah perpecahan dalam parti. Lebih-lebih lagi Pulau Pinang adalah satu satunya negeri dikuasai DAP. 



 

 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan